Kriteria Wali Palsu

Oleh: Nurul Wahida Bt Norazmi

Menurut sunnah, peristiwa luar biasa terbahagi kepada mukjizat, irhash, keramat, ma’unah, istidraj, dan sihir. Mukjizat ialah kejadian luar biasa pada Nabi-nabi dan Rasul-rasul sesudah diangkat menjadi Rasul, seperti bulan terbelah dua, pohon tumbuh dari dalam batu, dan sebagainya. Irhash ialah kejadian luar biasa pada diri Nabi Saw sebelum diangkat menjadi Rasul, seperti dada dibedah tanpa merasa sakit. Keramat ialah kejadian luar biasa pada diri Wali-wali,seperti ayam mati dapat hidup dengan doanya. Ma’unah ialah kejadian luar biasa pada diri orang Islam yang awam, seperti mengetahui yang ghaib-ghaib dan sebagainya. Istidraj ialah kejadian luar biasa pada orang fasik seperti sanggup mengangkat batu besar, menghentikan keretapi yang sedang berjalan dan sebagainya. Sihir ialah kejadian luar biasa pada orang kafir atau penjahat-penjahat seperti kebal tahan ditembak atau ditikam.

Golongan Wali Allah adalah mereka yang bertakwa dan soleh. Mereka yang men jalankan segala perintah Allah dan menjauhi laranganNya. Para wali Allah telah mengorbankan segala hidupnya hanya untuk mengabdi dan taat kepada Allah. Dalil adanya keramat pada wali-wali berdasarkan pada firman Allah SWT, hadith, perbuatan sahabat dan logik.

Berdasarkan Imam Taajus Subki dalam kitab Tabaqatul Kubra, keramat ada berjenis-jenis. Pertama ialah menghidupkan mayat. Imam Tajus Subki memberikan contoh keramatnya Abi Ubaid Albusri beliau pernah berdoa kepada kuda Allah agar kudanya yang mati di tengah medan perang dihidupkan kembali. Doa beliau terkabul dan kuda tersebut kembali hidup. Kedua ialah bercakap-cakap dengan orang mati. Ketiga ialah laut terbelah menjadi daratan. Keempat ialah berubahnya sesuatu yang mana pernah terjadi pada diri Syeikh Isa Alhataar Alyamani sewaktu ada seorang yang ingin menghinanya. Orang tersebut mengutus pelayannya dengan membawa bekas yang penuh dengan minuman keras. Ketika utusan itu menyampaikan dua bekas tersebut kepada Syeikh Isa beliau berkata sambil menuangkan salah satu bekas itu kepada bekas yang lain: “makanlah olehmu sekalian.” Isi bekas itu berubah menjadi minyak samin (keju) yang tidak pernah ada jenis samin yang sebaik itu baik rasanya mahupun warnanya.

Kelima, jarak jauh menjadi dekat. Jenis keramat ini pernah terjadi pada diri seorang wali yang berada di Masjid kota Tursus (Turki). Wali tersebut tergerak dalam hatinya ingin pergi ke MasjidilHaram (Makkah), kemudian beliau memasukkan kepalanya di kantungnya dan mengeluarkannya kembali tiba-tiba dengan izin Allah Wali itu telah berada di Masjidil haram (Makkah). Keenam, ialah berbicara dengan binatang dan benda mati. Ketujuh, dapat menyembuhkan penyakit. Kelapan, ditakuti binatang. Keramat ini pernah terjadi pada diri Abi Said bin Abil Khair Ali Mahyini. Beliau sangat ditakuti oleh singa. Kesembilan, waktu lebih cepat dan waktu lebih panjang.Kesepuluh, terkabulnya segala doa.

Kesebelas, terkabulnya segala doa dan kedua belas dapat menahan lisan. Seterusnya, dapat menarik hati orang yang hadir di majlis yang bising. Keempat belas, diberitahu setiap sesuatu yang akan terjadi dan dapat mengetahui segala yang terselubung (kasyaf). Kelima belas, kuat bersabar menahan lapar dan minum dalam waktu yang panjang. Keenam belas, menjalankan sesuatu sesukanya. Ketujuh belas ialah mampu untuk makam banyak. Kelapan belas, dapat terjaga dari makanan haram. Jenis keramat ini pernah terjadi pada Al-Harisul Muhasibi ketika beliau mendengar suara makanan yang hendak dimakannya.

Kesembilan belas, melihat jarak jauh dari belakang hijab. Jenis keramat ini pernah terjadi pada seorang wali yang bernama Abu Ishak Sirazi beliau dapat melihat Kaabah sedangkan beliau berada di kota Baghdad. Keduapuluh, kehebatan peribadi yang dapat menyebabkan kematian seorang tertentu ketika ia melihat dirinya wali tersebut. Keduapuluh satu, dapat perlindungan Allah dari segala kejahatan yang akan menimpa pada diri seorang wali. Bahkan kejahatan yang semula direncanakan itu akan berbalik jadi kebaikan. Keduapuluh dua, dapat berpindah bentuk. Keramat jenis ini dikenal oleh kaum ahli Tasawuf dengan Alamul Misal. Iaitu pertengahan antara alam Badaniah dan Alamul Arwah. Orang yang mendapat keramat semacam ini dapat berubah bentuk dan tempat secara bebas.

Keduapuluh tiga, dibukakan oleh Allah sumber kekayaan di Bumi. Seterusnya, kemampuan yang diberikan pada beberapa ulama untuk mengarang berpuluh-puluh karanagan dalam waktu singkat. Jenis keramat ini pernah dialami oleh Imam Syafi’e Rahimatullah. Jenis keramat ini juga pernah diberikan kapada seorang wali yang dapat mengkhatamkan lapan kali kitab dalam sehari. Yang terakhir, tidak dapat terkena pengaruh segala macam racun.

Syeikh Muhyiddin Ibnul Arabi menerangkan dalam kitabnya yang termasyur MAWAQI’UN NUJUM bahawa hubungan antara keramat dengan lapan anggota tubuh adalah sangat erat sekali kerana anggota tubuh tersebut dibebani tugas untuk melaksanakn tugas kepada Allah. Yang pertama ialah mata. Jika mata digunakan untuk taat kepada Allah dengan sebaik-baiknya serta dijauhkan dari segala pandangan yang dilarang oleh Allah maka ia akan dikurniai oleh Allah keramat dapat melihat seorang yang akan berkunjung sebelum ia dating walaupun dari jarak yang masih jauh. Dan mata tersebut akan dapat melihat sesuatu yang ada di sebalik tabirataupun dapat melihat Kaabah setiap kali ia menghadapkan muka ke arah kiblat untuk bersolat.

Jika telinga pula yang dipergunakan untuk taat kapeda Allah dengan sebaiknya seta dijauhkan dari segala pendengaran yang tidak diredhai oleh Allah akan memberinya anugerah keramat yang besar sekali. Ia akan diberikan kemampuan untuk mendengar tasbih (suara pujian) makhluk-makhluk Allah selain manusia kepada Allah. Dan ia akan mendengar suara tumbuh- tumbuhan, binatang, batu-batuan dan apa saja yang ada di muka bumi ini semuanya bertasbih kepada Allah.

Ketiga ialah lisan. Lisan itu dapat bercakap-cakap dengan alam ghaib. Bahkan segala apa yang diucapkannya akan mujarab. Ia akan dpat bercakap-cakap dengan benda-benda mati. Segala yang terjadi ia diberitahu sebelum terjadi. Tangan pula akan diberikan kepada kemampuan untuk menyembuhkan orang sakit dengan mengusapkan tangannya. Kelima ialah perut. Antara keramat ynag dikurniakan ialah jika da sesuatu makanan tau minuman yang terdiri dari yang haram maka Allah memberitahukan pada orang tersebut untuk menghindarinya. Seperti yang dialami oleh wali yang bernama Al-Harits Al-Mushasiby. Setiap kali jika dihidangkan di hadapannya yang mengandungi haram atau syubhat maka jari-jarinya akan mengeluarkan peluh.

Seterusnya ialah anggota kelamin. Jika anggota kelamin seseorang digunakan untuk tetap taat kapada Allah dan menjauhi larangan Allah maka Allah akan memberikan keramat baginya dapat menghidupkan orang mati, menyembuhkan orang sakit buta tuli dan belang serta dijauhkan oleh Allah dari segala macam perbuatan yang tidak diredhai Allah. Hal ini pernah terjadi pada bonda Isa as. Iaitu maryam. Ketujuh ialah kaki. Orang yang mendapat keramat tersebut ia akan dapat berjalan ats air, di atas udara.bahkan dapat menempuh suatu jarak jauh dalam kecepatan luar biasa. Yang terakhir ialah hati. Allah membukakan segala macam rahsia yang terselubung di alam ghaib. Dari kelapan anggota tubuh yang diberi tugas taat kepada Allah yang terpenting adalah hati.

Para wali dapat dibahagikan menjadi beberapa tingkat sesuai dengan kedudukan mereka di sisi Allah. Pertama ialah Al-Aqtab yang berasal dari kata tunggal Qutub beerti penghulu. Al-Qatab adalah darjat perwalian yang tertinggi. Jumlah wali yang mempunyai darjat tersebut hanya terbatas seorang sahaja untuk setip masa. Kedua ialah Al-Aimmah. Al-Aimmah berasal dari kata tunggal Imam yang mempunyi erti pemimpin. Setiap masa hanya ada dua orang saja yang dapat memcapai darjat Al-Aimmah.

Ketiga ialah Al-Autad. Yang memperoleh darjat ini hanya empat orang saja setiap masa. Darjat Al-Abdal pula berasal dari kata Badal yang mempunyai erti menggantikan. Darjat ini hanya ada tujuh orang sahaja dalam setiap masa. Setiap wali Abdal ditugaskan oleh Allah untuk menjaga suatu wilayah di bumi ini. Dikatakan di bumi ini mempunyai tujuh daerah. Setiap daerah dijaga oleh seorang wali Abdal.

Kelima ialah An-Nuqaba’ yang berasal dari kata tunggal Naqib yang mempunyai erti kepala suatu kaum. Jumlah Nuqaba’ dalam setiap masa hanya ada dua belas orang sahaja. Wali ini diberi kelebihan oleh Allah untuk mengerti sedalam-dalamnya tentang hukum-hukum syariat. Keenam ialah An-Nujaba’. An-Nujaba’ berasal dari kata tunggal Najib yang mempunyai erti bangsawan Yng mulia. Wali Nujaba’ pada umumnya selalu disukai orang. Sebenarnya wali itu sendiri tidak merasa kalau dirinya adalah seorang wali. Yang tahu bahawa ia adalah wali hanyalah seorang wali yang lebih tinggi darjatnya. Setiap masa jumlah mereka hanyalah lapan orang saja.

Al-Hawariyun berasal dari kata tunggal Hawariy yang mempunyai erti penolong. Jumlah wali ini hanya satu di setiap masa. Jika seorang wali Hawariy meniggal maka akan digantikan dengan orang lain. Kelas wali yang terakhir ialah Ar-Rajbiyun. Wali ini berasal kata tunggal Rajab. Wali Rajbiyun itu adanya hanya di bulan rejab sahaja. Mulai awal Rejab hingga akhir bulan mereka itu ada. Selebihnya keadaan mereka kembali biasa seperti semula. Setiap masa jumlah mereka hanya ada empat puluh orang.

HARUS dibezakan antara Wali Allah dengan sang “Wali”. Wali Allah adalah manusia pilihan, manusia yang imannya bersih dari syirik, manusia yang ketaqwaannya bersih dari riya’ kerana ikhlas. Sedangkan sang “Wali” tidaklah sedemikian. Meskipun nampaknya beriman, namun keimanannya hanya indah dari lahiriah. Sedangkan hatinya tercemar syirik. Ketaqwaannya nampak memukau, tetapi hatinya dipenuhi riya’.

Menurut pandangan Al-Quran bahawa Wali Allah itu ada dua tingkatan, iaitu sabiquna maqarrabun dan ashabul yamin muqtashidun. Kedua golongan itulah yang benar-benar dianggap Wali. Selain itu, perlu diragukan keWaliannya. Sabiquna muqarrabun ertinya orang-orang yang paling dahulu beriman dan mereka didekatkan kepada Allah; ahli syurga. Adapun ashabul yamin muqtashidun adalah golongan kanan cermat; ahli syurga pula.

SANG “Wali” biasanya suka menampakkan amal ibadahnya kepada sesama manusia. Tujuannya ingin mendapat pujian, kemegahan dan gelaran sebagai manusia suci. Padahal yang demikian itu adalah amalan yang penuh riya’. Sang “Wali” sangat suka terhadap tersiarnya khabar tentang kehebatan dan kebaikan dirinya. Ia sangat suka akan kemegahan dan kemulian serta sanjungan. Penampilan Wali Allah sama dengan orang awam atau masyarakat kebanyakan. Duduk sama rendah, bediri sama tinggi. Cara berpakaian, bicara dan lain-lain yang mudah tidak mempunyai perbezaan dengan orang lain. Namun tidak demikian yang boleh kita boleh lihat pada Sang “Wali”. Ia menjadi terkenal, dikagumi umatnya yang disebut-sebut sebagai Wali kerana penampilannya yang menarik. Dia berusaha menampilkan perbezaan diantara orang lain.

Salah satu dari kebohongan sang “Wali” adalah suka meramal nasib atau sesuatu yang belum diketahui. Sesunguhnya Wali Allah tidak suka meramal nasib atau menceritakan peristiwa yang hendak terjadi. Wali Allah bukanlah seorang dukun yang suka menjual doa mustajabah. Wali palsu juga mengaku dirinya Wali terakhir. Ada yang beranggap bahawa Wali yang terakhir itu lebih baik dari Wali-Wali yang sebelumnya. Sesungguhnya yang benar adalah tidak ada seorang pun ulama terdahulu yang membicarakan tentang Wali penutup. Malah juga tidak pernah dijumpai dalam hadith mahupun Al-Quran.

Wali Allah pula adalah orang-orang yang bertaqwa. Mereka yang mengikuti dan menagamalkan ajaran Nabi Muhammad SAW dengan sempurna, tidak menambah dan tidak menguranginya. Menjauhi segala larangan Allah dan melaksanakan segala perintahNya. Orang orang yang sedemikian itu akan mendapat jalan keluar, bantuan dari Allah dan MalaikatNya. Allah akan memberikan cahaya keimanan ke dalam hatinya dan juga memberi kekeramatan. Terdapat beberapa sahabat yang termasuk Wali Allah dan memiliki kekeramatan. Kekeramatannya muncul kerana hujjah atau dalam keadaan terpaksa.

Contohnya, kekeramatan Amir bin Fahirah. Beliau adalah pejuang yang menyerahkan jiwa dan raganya untuk jihad fisabilillah. Perjuangan yang dilakukan semata-mata ikhlas kepada Allah. Tidak sedikit pun di hatinya ada perasaan riya’, yang ingin dipuji-puji oleh orang lain. Suatu ketika beliau gugur dalam pertempuran. Tiba-tiba mayatnya lenyap. Para sahabat sibuk mencarinya namun tak ditemukan juga. Suatu ketika Amir bin Thufail melihat jenazah Amir terangkat ke atas dengan sendirinya. Lalu terdengar suara bahawa hal itu dilakukan oleh para malaikat. Janazah Amir dibawa ke langit. Kekeramatan Amir ini diceritakan oleh Ibnu Iskah dalam Maghairah.

Terdapat fenomena-fenomena di kalangan umat tentang kebohonagn sang “Wali” tersebut. Pertama ialah mengaku mendapat wahyu. Sang “Wali” dikatakan mendapat bisikan ghaib atau biasanya mereka menyebut wahyu atau ilham bahawa dalam waktu yang tidak lama akan terjadi musibah besar. Tetapi menurut Sang “Wali” ada ubat penangkalnya. Kerana itu sang “Wali” menganjurkan agar umat mengadakan kenduri yang seluruh bahannya dari sayur mayur.

Kedua ialah seolah-olah tidak suka harta. Jika seseorang sudah mempunyai banyak murid dan pengikut, maka di dalam dirinya akan muncul perhatian. Setidak-tidaknya dihormati oleh pengikutnya itu. Segala miliknya, jika diminta oleh gurunya harus diserahkan dengan ikhlas. Agar tetap dianggap sebagai Wali yang tidak suka harta, maka ia meminta agar harta benda murid-muridnya itu disumbangkan untuk kepentingan jemaah atau lembaga. Dan lembaga itu bukan untuk kepentingan peribadi sang “Wali” atau sang guru tetapi untuk kepentigan umat. Demekianlah, sang “Wali” berlindung pada dalil-dalil yang manis, yang memungkinkan untuk diterima para muridnya . padahal dia mengambil semua harta dari muridnya itu dinikmati secara peribadi.

Isu lainnya tentang kekeramatan sang “Wali” yang beredar di kalangan umat ialah bahawa ia boleh berhubungan dengan arwah. Dengan menggunakan ilmu tertentu, sang “Wali” boleh memanggil atau bertemu dengan arwah para aulia bila-bila saja. Padahal jika mereka sedar bahawa arwah orang yang sudah mati itu tidak boleh kembali kealam dunia, kecuali jika Allah menghendakinya. Alam dunia berbeza dengan alam ghaib. Orang yang sudah mati akan sibuk menghadapi urusan-urusan di kuburnya.

Salah satu dari perkara-perkara kebiasaan sang “Wali” adalah suka meramal dan menenung nasib orang. Ia berlagak mengetahui masalah-masalah ghaib, mengaku pernah bertemu dengan Nabi Muhammad, bersahabat dengan Syaikh Abdul Qadir Jailani atau wali-wali lain yang dikenali masyarakat. Semua itu bertujuan untuk meningkatkan kedudukannya agar orang menjadi segan dan menyembah dirinya. Aswad Al-Ansi adalah Wali palsu yang dikenal mempunyai kekeramatan boleh memberitakan masalah-masalah ghaib. Kesaktiannya dalam masalah ilmu ghaib membuat orang awam banyak terpengaruh dan terjebak dalam kemusyrikan.

Isu lain yang menarik ialah bahawa sang “Wali” mempunyai keramat, iaitu boleh pergi ke Makkah atau madinah dalam sekejap mata. Keramat semacam ini biasanya disebarkan oleh murid-muridnya atau para pengikutnya. Dikatakan kapada orang awam bahawa sang “Wali” yang menjadi gurunya itu boleh melakukan perjalanan seperti halnya yang dialami Nabi SAW ketika Isra’ dan Mi’raj.

Sampai sekarang diyakini bahawa Nabi khidir masih hidup. Ada anggapan jika seseorang ditemui Nabi Khidir, maka ia termasuk orang yang beruntung dan seutama-utama manusia. Lalu banyak wali palsu mengaku pernah bertemu dengan Nabi Khidir. Bahkan katanya mereka sering bertatap muka dan berdialog. Lebih menyenangkan lagi bahawa setiap permitaan sang “Wali” selalu terkabul. Di samping bertemu Nabi Khaidir, biasanya sang “Wali” juga mengatakan bahawa ia mengaku boleh memanggil atau bertemu Nabi Ilyas. Konon orang yang boleh bertemu dengan Nabi ILyas hanyalah manusia yang sudah ma’rifah, sudah dekat kepada Allah. Orang awam tak akan dapat berjumpa dengan Nabi tersebut kerana tidak memiliki kekeramatan.

Demikianlah beberapa kebohongan-kebohongan sang “Wali” yang tidak layak dipercayai. Sesungguhnya bentuk-bentuk kebohongan yang dihiaskan dengan kekeramatan atau keluarbiasaan mereka cukup banyak.



Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau
Perlis
MALAYSIA

P: 04-9882701
H: 013-4006206
E: abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
W: abdazizharjin.blogspot.com