Peperangan Badar

Oleh: Muhammad Afiq Bin Mat Yasin

Setelah hijrahnya Rasulullah dari Makkah ke Madinah bersama-sama para sahabatnya dan diterima baik oleh orang-orang anshar, Islam telah berkembang, tersebar luas dan diterima oleh banyak kabilah-kabilah arab. Kekuatan dan ekonomi Madinah telah menjadi kukuh. Orang-orang arab Quraisy Makkah tidak senang hati dengan kemajuan ini.
Perang Badar merupakan perang pertama yang dilalui oleh umat Islam di Madinah. Ia merupakan isyarat betapa mulianya umat Islam yang berpegang teguh pada tali agama Allah. Kemenangan besar kaum muslimin tidak terletak pada jumlah tentara yang ikut serta tetapi terkandung dalam kekuatan iman yang tertanam disanubari mereka. Dengan Keyakinan mereka pada Allah yang sangat kukuh itu, Allah telah menurunkan bantuan ibarat air yang mengalir menuju lembah yang curam. Tidak ada sesiapa yang dapat menahan betapa besarnya pertolongan Allah terhadap umat yang senantiasa menjalankan perintahnya dan menjauhi larangannya.
Serangan yang dilakukan oleh Abdullah Ibn Jahshin terhadap angkatan perdagangan kaum Quraisy pada bulan Rejab yang diharamkan berperang telah dianggap oleh mereka sebagai tamparan dan cabaran hebat kepada mereka. Kaum Quraisy merasakan kematian Al-Hadhrami seharusnya dibela dan memusnahkan semua pihak yang bersangkutan dengan pembunuhan itu. Rasulullah sememangnya menyedari pihak Quraisy pasti akan menuntut bela. Baginda telah membuat persediaan yang lebih awal.
Pada bulan Ramadhan tahun 2 Hijriah, Rasulullah bersama 313 orang tentera telah keluar dari Madinah untuk menyekat angkatan perdagangan kaum Quraisy yang pulang dari negeri Syria(Syam) dalam usaha mereka hendak melemahkan persiapan tentera Quraisy Makkah untuk menyerang Madinah. Abu Sufyan yang mengetuai angkatan perdagangan tersebut telah menyedari tindakan Rasulullah itu lalu beliau telah menghantar utusannya yang bernama Dham Dham bin Amr Al-Ghifari meminta bantuan dari Makkah.
Di Makkah pula, 3 hari sebelum Dham Dham sampai, Atiqah Binte Abdul Muthalib telah bermimpi sesuatu yang sungguh menakutkan. Atiqah telah bermimpi melihat seorang musafir datang dengan menunggang unta. Ia berdiri diatas tanah lapang. Kemudian, lelaki tersebut berteriak dengan suara yang amat kuat, “Ketahuilah wahai keluarga Ghudar, berangkatlah kalian kepada tempat-tempat kematian kalian dalam masa 3 hari. ”
Atiqah melihat manusia berkumpul dekat musafir tersebut kemudian dia masuk dalam masjid diikuti orang ramai dan berdiri ia diatas untanya didepan Ka’abah dan dilaungkan lagi perkataan yang sama. Lelaki itu kemudian berdiri dihadapan Abu Qais dan diulangi ucapannya buat kali ketiga. Musafir itu kemudian mengambil batu besar dan melemparkannya. Batu itu jatuh bergolek. Ketika batu itu tiba dibawah gunung, ia pecah berkeping-keping. Tidak sebuah rumah pun yang ada di Makkah terlepas dari dimasuki pecahan batu besar tersebut. Mimpi Atiqah itu walaupun diminta supaya dirahsiakan, telah tersebar luas di Kota Makkah hingga kepengetahuan Abu Jahal. Tetapi Abu Jahal dengan sikap bongkak dan sombongnya tidak memperdulikan mimpi itu malah memperlekehkannya.
Al-Abbas bin Abdul Muthalib, orang pertama yang mengetahui tentang mimpi Atiqah telah mendengar saudaranya di ejek oleh Abu Jahal. Beliau ingin mempertahankan saudaranya lalu keluar untuk mencari Abu jahal. Pada ketika beliau terjumpa Abu Jahal, Dham Dham, iaitu utusan dari Abu Sufyan telah sampai ke Makkah dengan membawa berita Abu Sufyan meminta bantuan. Ketika itu juga Makkah menjadi kecoh dengan berita ini. Ramai pembesar-pembesar Quraisy merasa marah dengan tindakan Muhammad. Mereka lalu mengumpulkan orang untuk keluar membantu Abu Sufyan. Tidak ada seorang lelaki pun yang ingin ketinggalan dalam peperangan ini. Ada diantara mereka yang tidak dapat ikut tetapi mengutus orang suruhan mereka untuk ikut serta.
Sebelum berlaku peperangan di Badar, Nabi Muhammad S.A.W. telah mengutuskan Talhah Bin Ubaidullah dan Said bin Zaid untuk mengumpul maklumat tentang kabilah Abu Sufyan. Mereka mengumpulkan maklumat yang perlu dan kembali ke Madinah untuk menyampaikannya kepada Rasul. Baginda bergerak bersama-sama para pengikutnya. Baginda menuju ke Badar tetapi terlebih dahulu Baginda mengutus Ali bin Abu Talib, Zubir bin Al-Awwam dan Saad Bin Abi Waqqas bersama beberapa orang lain ke Badar mengumpulkan maklumat terbaru tentang orang Quraisy serta musuh mereka. Maklumat yang diperolehi daripada dua orang budak lelaki yang telah mendedahkan tentang tempat persinggahan orang Quraisy. Apabila Rasulullah bertanya berapa ekor binatang yang disembelih untuk makanan mereka setiap hari, kanak-kanak itu menjawab 9 atau 10 ekor. Dengan kebijaksanaan Rasulullah, Beliau dapat mengagak jumlah tentera musuh ada 900 hingga 1000 orang tentera.
Dengan maklumat yang diperolehi itu, Rasulullah pada waktu itu merasa khawatir sekiranya setelah tenteranya bertempur dengan tentera Quraisy, ada di antara tenteranya yang mengundur diri. Nabi Muhammad S.A.W. juga pada mulanya ingin berangkat dari madinah untuk mengejar unta-unta yang membawa barang perdagangan kaum Quraisy yang di ketuai oleh Abu Sufyan, sedangkan mereka telah melepasi jalan ke Makkah. Rasulullah bimbang jika ada di antara tenteranya yang tidak suka bertempur dengan tentera Quraisy. Pasukan tentera Quraisy berlipat ganda lebih besar. Peralatan perang Quraisy lebih lengkap dan mereka serba kekurangan.
Nabi Muhammad S.A.W. mengadakan permusyawaratan bersama pahlawan-pahlawan tenteranya untuk meminta pendapat mereka. Pada mulanya, mereka berkata bahawa mereka keluar hanya untuk perdagangan Quraisy dan bukan untuk berperang. Ketika itu Rasulullah amat merasa susah hati dan berubah wajahnya. Apabila Abu Bakar r. a melihat keadaan ini, lalu beliau berkata, “Ya Rasulullah, lebih baik kita bertempur dengan musuh!”. Diikuti pula dengan Umar r. a. dan seorang sahabat Miqdad Bin Al-Aswad.
Ketika itu Rasulullah juga ingin kepastian dari kaum Anshar. Melihat keadaan itu, Sa’ad Bin Muaz lalu berdiri dan berkata dengan kata-kata yang memberi keyakinan pada Rasulullah sama seperti kaum Muhajirin. Di ikuti pula oleh suara-suara pahlawan yang lain. Setelah mendengar kata-kata daripada sahabat dan tenteranya yang sungguh meyakinkan, bercahayalah muka Nabi seraya tertampak kegirangannya. Pada saat itu juga Allah menurunkan wahyunya yang tercatat di Surah Al-Anfal ayat 5-7.
Setelah itu, Nabi Muhammad S.A.W. lalu bersabda pada seluruh tenteranya, “Berjalanlah kamu dan bergiranglah kerana sesungguhnya Allah telah memberi janji kepadaku salah satu daripada dua golongan (yaitu Al-Ier dan An-Nafier). Demi Allah, sungguh aku seakan-akan sekarang ini melihat tempat kebinasaan kaum Quraisy, ”Mendengar perintah Rasulullah S.A.W. yang sedemikian itu, segenap kaum muslimin memulakan perjalanan dengan tulus ikhlas dan berangkatlah mereka menuju ketempat yang dituju oleh Nabi. Mereka selalu taat dan patuh kepada perintah Nabi dengan melupakan segala sesuatu yang menjadi kepentingan diri mereka sendiri. Di pihak Quraisy pula berlaku beberapa kekeliruan sehingga beberapa kaum yang berjalan berpatah balik ke Makkah.
Rasulullah tidak berhenti-henti berdoa kepada Allah memohon pertolongan. Untuk menebalkan iman tenteranya dan meneguhkan semangat barisannya, Rasulullah menghadapkan mukanya kepada tentera-tenteranya sambil memohon pertolongan kepada Allah. Diriwayatkan diwaktu itu, Nabi S.A.W. berulang-ulang memohon kepada Allah sehingga Abu Bakar r. a yang sentiasa berada di sisinya telah memegang selendang dan bahu Nabi sambil berkata bahawa Allah akan menunaikan apa yang telah dijanjikan-Nya.
Sebagai kebiasaan bangsa Arab, sebelum berperang pahlawan-pahlawannya terlebih dulu harus bertanding dan beradu kekuatan dengan pahlawan musuh. Bagi pihak kaum Quraisy, 3 pahlawan yang keluar adalah Utbah Bin Rabi’ah, Syaibah Bin Rabi’ah dan Walid Bin Utbah. Manakala dari tentera Islam pula ialah ‘Auf bin Al-Harits, Mu’adz bin Harts dan Abdullah bin Rawahah. Mereka bertiga adalah dari kaum Anshar. Tetapi kerana kesombongan kaum Quraisy yang merasakan bangsanya lebih baik, mereka tidak mahu menerima kaum Anshar, malah meminta Rasulullah mengeluarkan 3 orang pahlawan dari kaum Quraisy sendiri. Maka Rasulullah mengeluarkan Hamzah Bin Abdul Muthalib, Ali Bin Abi Thalib dan ‘Ubadah Bin Al-Harits. Mereka berenam beradu tenaga. Akhirnya ketiga-tiga tentera Quraisy tewas dan tentera Islam hanya ‘Ubaidah Bin Al-Harits yang syahid. Ini adalah petanda bahawa kaum Quraisy akan tewas.
Setelah itu pertempuran terus berlaku. Tentera Islam yang seramai 313 orang berperang bermati-matian untuk menewaskan tentera Quraisy. Rasulullah sentiasa mengawasi gerak-geri tentera Islam. Dalam masa singkat, berpuluh-puluh tentera musyrikin tewas. Tentera Islam sentiasa menyebut “Esa! Esa! Esa!” Rasulullah pula tidak berhenti-henti berdoa kepada Allah memohon kemenangan tentera Islam. Pada suatu ketika, Rasulullah telah jatuh seperti orang pengsan. Tubuhnya gementar dan kedinginan bagaikan orang ketakutan. Tetapi setelah beberapa minit, Baginda kembali berdiri dengan tegak.
Rasulullah memberi semangat kepada tenteranya dengan sabdanya yang membawa maksud dan jaminan bahawa tentera Islam yang turut serta diperang Badar dijamin masuk syurga. Mendengar perkara ini, semangat tentera Islam semakin berkobar-kobar. 70 orang kaum Quraisy terbunuh dan 70 orang yang lain ditawan. Manakala hanya 14 orang tentera Islam yang syahid (6 dari Muhajirin dan 8 dari Anshar). Tentera Islam mendapat kemenangan kerana keteguhan dan ketabahan hati mereka. Mayat-mayat tentera musyrikin dilempar dan dikuburkan di dalam sebuah perigi di Badar. Kemenangan ini disambut dengan riang gembira oleh kaum perempuan, kanak-kanak dan beberapa orang lelaki yang diberi tugas mengawal Madinah dalam ketika tentera Islam berperang di Badar.
Di Madinah pula, Rasulullah memikirkan apa yang patut dilakukan kepada tawanan-tawanan perang. Rasulullah juga berpesan kepada orang Islam supaya bersikap baik dan belas kasihan kepada orang tawanan. Terdapat kaum muslimin yang memberikan satu-satunya roti yang ada kepada orang tawanan. Hal ini menyebabkan orang tawanan berasa segan dengan kebaikan yang ditunjukkan. Rasulullah kemudian berbincang dengan orang Islam tentang nasib tawanan Badar. Ada yang mahu membunuh mereka kerana mereka telah ingkar kepada Allah dan mengusir kaum Muhajirin dari Makkah. Ada pula yang lebih lembut hatinya dan mahu melepaskan saja mereka dengan harapan mudah-mudahan mereka akan insaf dan tertarik dengan Islam.
Setelah lama berbincang, mereka akhirnya mengambil keputusan untuk melepaskan mereka dengan mengenakan tebusan sekadar yang sepatutnya mengikut keadaan masing-masing. Tebusan adalah di antara 4000 dirham dan 1000 dirham. Bagi yang miskin tetapi mempunyai pengetahuan membaca dan menulis dikehendaki mengajar sepuluh orang kanak-kanak Islam. Mereka semua dibebaskan apabila tebusan telah dibayar atau kanak-kanak itu telah pandai.
Peperangan Badar ini amat besar ertinya bagi agama Islam. Andaikata tentera Islam kalah dalam peperangan ini maka tamatlah riwayat orang-orang Islam malah agama Islam sendiri. Kemenangan ini juga menguatkan lagi kedudukan Islam di Madinah dan menambahkan keyakinan bahawa mereka adalah pihak yang benar. Mereka telah mula disegani dan ditakuti oleh kabilah-kabilah Arab lain dan digeruni oleh orang Yahudi dan Munafiqin Madinah. Sebaliknya pengaruh orang Quraisy Makkah mula lemah dan merosot. Setelah dibebaskan, tawanan-tawanan tentera Islam balik ke Makkah dan telah bercerita kepada sahabat-sahabat dan keluarga tentang kebaikan orang Islam.
Cerita ini dengan secara tidak langsungnya telah mendorong kepada perkembangan agama Islam di Makkah. Mereka yang selalunya menerima layanan buruk dari orang Quraisy secara diam-diam telah berhijrah ke Madinah dan memeluk agama Islam. Dengan ini tentera Islam bertambah dari masa ke semasa. Perang Badar telah memperkuatkan lagi kepercayaan orang Islam kepada Nabi Muhammad S.A.W. dan ajaran Islam. Mereka sanggup berkorban jiwa untuk kepentingan Baginda dan agama Islam
Pengajaran dari peperangan ini menunjukkan bahawa kaum Quraisy tidak bersatu padu. Ini terbukti apabila terdapat beberapa puak yang menarik diri sebelum perang terjadi. Dengan ini sebagai orang Islam kita harus bersatu demi mencapai kemenangan.
Kaum Quraisy terlalu yakin yang mereka akan berjaya memusnahkan Islam yang memang sedikit dari segi jumlah tetapi tidak dari segi semangat juang. Mereka tidak dapat mengalah tentera Islam kerana semangat tentera Islam begitu kukuh kerana Rasulullah telah berjaya menjalinkan silaturrahim yang kuat sesama umat Islam. Nabi Muhammad S.A.W adalah pentabdir yang berkaliber dan pintar mengendalikan strategi peperangan. Orang Islam mempunyai pegangan sama ada berjaya didunia atau mati syahid. Oleh itu, kita sebagai umat Islam yang cinta kepada agama hendaklah sentiasa berpegang teguh kepada ajaran Islam di samping bersama-sama dalam menegakkan syiar Islam.


Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau
Perlis
MALAYSIA

P: 04-9882701
H: 013-4006206
E: abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
W: abdazizharjin.blogspot.com