Tuesday, March 31, 2009

Rahmat Di Sebalik Dugaan Hidup

Oleh: Nurul Azreeyah Binti Awang Azli

Dalam menghadapi berbagai ujian dan dugaan selama hidup manusia di dunia ini, adalah sangat sedikit sekali bilangan manusia yang tahan diuji. Hal ini mungkin disebabkan kurangnya pengertian, atau terdorong oleh kehendak hawa nafsu yang tidak pernah mengenal puas, sehingga tidak redha menerima ketetapan ilahi dan menganggap sesuatu yang ia milikidi dunia ini adalah abadi. Mengingat kepada perkara tersebuut, penulis merasa perlu untuk menyajikan tulisan ini.

ISI
Hidup di atas muka bumi ini tidak akan pernah sunyi dari susah dan senang, dan suka dan duka yang datang silih berganti. Sesiapa yang menyangka hidup ini hanya kesenangan, kegembiraan dan kemewahan sahaja atau sebaliknya sahaja iaitu kehidupan ini hanya kesusahan, kesedihan, kesempitan selama-lamanya, semua itu adalah salah. Kesenangan dan kesusahan adalah seni kehidupan dan ia juga merupakan sunatullah pada alam semesta ini.

Kesenangan atau kesusahan itu adalah merupakan ujian dan dugaan yang diturunkan oleh Allah SWT kepada hambanya. Oleh itu, dapatlah dikatakan bahawa hidup ono penuh dengan ujian dan dugaan. Sesuatu benda kalau tidak diuji, tidak akan nampak kekuatannya. Begitu juga manusia khususnya orang yang mengaku dirinya beriman, sudah tentu harus melalui pelbagai ujian dan dugaan. Sebagaimana firman Allah SWT di dalam surah Al-Ankabut, ayat 2 hingga 3, yang membawa maksud, “Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan saja mengatakan: “Kami telah beriman” sedangkan mereka tidak diuji terlebih dahulu? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah SWT mengetahui orang-orang yang benar dan dusta. ”
Tujuan dati musibah dan dugaan yang diturunkan Allah SWT kepada hambanya ialah untuk membezakan yang mana orang mukmin sejati dan yang mana orang munafik. Ini adalah kerana terdapat ujian yang menyebabkan manusia mudah tergelincir dan salah satumya ialah ujian aqidah dan agama. Ramai yang mengaku Islam, beriman, termasuk alim ulamak, namun setelah diuji iman dan agamanya oleh Allah SWT dengan pelbagai ujian, ternyata lemah dan terjerumus sehingga menjadi sesat.
Selain itu, musibah dan dugaan ini diturunkan adalah untuk menghapuskan dosa sebagaimana yang terdapat di dalam hadis HR. Muslim di mana Rasulullah SAW bersabda yang membawa maksud, “Tiada musibah apa pu yang menimpa diri seorang muslim melainkan Allah menghapuskan keburukannya (dosanya) walaupun duri yang mengenai dirinya.
Ujian dan dugaan yang diturunkan juga adalah untuk melihat sejauh mana kesabaran dan ketaatan seorang hamba. Ini dapat dilihat dari sebuah hadis Qudsi yang membawa maksud, “Allah berfirman kepada para Malaikat-Nya: “Pergilah kamu kepada hamba-Ku timpakanlah berbagai ujian kepadanya kerana Aku ingin mendengar suaranya”. Daripada hadis tersebut, Allah telah memerintahkan para malaikat supaya melakukan berbagai ujian dan dugaan kepada hamba-hamba-Nya. Dengan itu, dapatlah didengar suara hamba-Nya yang sedang mengalami ujian dan dugaan tersebut. Sesungguhnya Allah Maha mengetahui apa yang tersembunyi di dalam hati hamba-Nya.
Tambahan pula, ujian yang diturunkan dapat membentuk dan mendidik keperibadian manusia sehingga menjadi umat berbudi tinggi. Ia juga sebagai latihan supaya manusia terbiasa menerima ujian dan dengan demikian akan bertambah kesabaran, kuat cita-cita dan tetap pendiriannya.
Ujian dan dugaan tersebut pula tidak hanya berupa kesusahan, kesulitan dan kesakitan sahaja, akan tetapi ia juga berupa kesenangan dan kemewahan. Pada hakikatnya, ujian yang berupa nikmat harta kekayaan dan berbagai macam kesenangan pada hakikatnya adalah lebih berat daripada ujian yang berupa bencana dan seksaan. Ini dapat dilihat bahawa ramai orang yang memperoleh kekayaan tetapi kekayaan itu menyebabkan kesusahan bagi dirinya kerana ia tidak dapat menggunakan hartanya itu dengan sebaik mungkin. Justeru kekayaan itu menjadi ujian bagi dirinya.
Dalam mengahadapi ujian-ujian tersebut, manusia perlu redha menerima apa yang telah ditentukan oleh Allah kepada mereka. Maka dalam hal ini, mereka perlu mengetahui hakikat daripada takdir yang telah ditentukan oleh Allah untuk mereka. Mereka harus mengetahui mana satu ketentuan yang harus diterima seadanya dan ketentuan yang perlu usaha untuk merubahnya. Takdir ini ter bahagi kepada dua iaitu takdir mubram dan takdir mu’allaq.
Takdir adalah ketentuan Allah atas segala sesuatu yang diciptakan. Allah menciptakan segala sesuatu dan setiap sesuatu itu telah ditetapkan takdirnya oleh Allah. Takdir merupakan kemungkinan yang dapat terjadi atas sesuatu. Tidak seorang pun manusia yang dapat menghindari diri dari takdir baik mahupun buruk jika Allah mengkehendakinya. Akan tetapi tidak seorang pun manusia yang mengetahui atau diberitahu tentang takdirnya esok atau di kemudian hari. Justeru, Allah memberi kebebasan kepada manusia untuk berusaha agar memperoleh takdir yang diharapkan atau diinginkan.
Setelah manusia berusah mengikut kemampuannya, dan dia merasakan sudah sedaya yang mungkin ia tempuhinya, yang demikian itu, akhirnya dia harus menerimanya sebagai takdir. Berusaha itu wajib bagi manusia. Terdapat ungkapan yang berbunyi : jangan menyerah pada nasib. Ia tidaklah bererti manusia boleh menolak nasib atau takdir tetapi manusia harusberusaha merubah nasibnya jikalau masih belum mencapai apa yang diharapkan. Takdir pula terbahagi kepada dua iaitu takdir mubram dan takdir mu’allaq.
Takdir mubram ialah qada’ dan qadar yang tidak dapat dielakkan oleh manusia. Dalam erti kata lain, ia pasti terjadi pada diri manusia. Dengan itu, manusia tidak mempunyai kesempatan memilih atau tidak mempunyai pilihan pun. Sebagai contoh, jantina, hari kiamat dan hari kematian. Sebagaimana firman Allah SWT, di dalam surah, Al-Araf, ayat 34, yang bermaksud, “Tiap-tiap umat mempunyai batas waktu, maka apabila telah datang waktunya mereka tidak dapat mngundurkannya barang sesaatpun dan tidak dapat pula memajukannya”.
Takdir mu’allaq ialah qada’ dan qadar yang bergantung kepada ikhtiar seseorang itu mengikut kemampuan yang ada pada manusia. Untuk menghadapi takdir ini, manusia wajib berusaha mengikut kemampuan yang ada untuk mungubah keadaan supaya menjadi lebih baik ke arah mencapai tujuannya. Soal berhasil atau tidak usaha tersebut, adalah bergantung kepada pertolongan Allah. Tetapi ini tidak menjadi alasan untuk berputus asa. Sebab berusaha memang telah menjadi kewajipan manusia. Ia dapat dilihat dari firman Allah SWT dalam surah Ar-Ra’d, ayat 11, yang bermaksud, “Sesungguhnya Allah tidak akan merubah keadaan (nasib) sesuatu bangsa sehingga bangsa itu mahu merubah keadaan (nasib) mereka sendiri”.
Islam telah menyeru umatnya supaya sentiasa bersabar terutamanya semasa menghadapi musibah. Sebagaimana yang dapat dilihat dari firman Allah SWT, dari surah Al-Baqarah, ayat 153, yang bermaksud, “Hai orang-orang yang beriman, jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu, sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang sabar”.
Sabar ialah satu kekuatan yang mendorong jiwa untuk menunaikan kewajipan, juga satu kekuatan yang menghalang seseorang dari melakukan kejahatan. Sabar juga merupakan sifat yang membezakan antara manusia dan haiwandalam perkara menundukkan hawa nafsu. Dorongan hawa nafsu pula ialah tuntutan syahwat dan keinginan yang minta dilaksanakan. Oleh itu, sesiapa yang dapat menahan diri sehingga ia dapat menundukkan dorongan hawa nafsu secara berterusan, maka orang tersebut termasuk dalam golongan orang-orang yang sabar.
Bila seseorang itu menghadapi dugaan dan penderitaan dengan redha, ikhlas serta mencari jalan keluar dengan cara yang baik, tidak mengeluh, mengaduh dan sebagainya, maka Allah pasti akan memudahkan baginya hisabnya pada hari kiamat. Allah akan menyegerakan balasan pahalanya memberkati kehidupannya sehingga timbangan amalnya tidak berat kepada kejahatan yang disudahi dengan masuk ke dalam syurga yang penuh dengan seribu satu kenikmatan.
Kebanyakan orang menyangka bahawa sabar bererti merendahkan diri dan menyerah kepada keadaan, membiarkan diri hanyut dalam keadaan tersebut, atau menghentikan usaha tanpa berikhtiar untuk mencari jalan keluar. Tetapi pengertian ini tidaklah tepat, sebab yang dikatakan sabar ialah menghadapi dugaan dan ujian dengan cara yang baik, berikhtiar untuk mencari jalan keluar dan membiasakan diri melakukan amal perbuatan yang soleh dan teruskan berusaha sambil menjadikan pengalaman itu sebagai dorongan untuk mempunyai kemahuan yang kuat disertai dengan keimanan dan keyakinan yang penuh istiqamah.
Semasa menghadapi sesuatu musibah, seseorang itu haruslah bersabar, tidak mengeluh dan redha dengan apa yang telah ditentukan oleh Allah SWT. Sesungguhnya keluh kesah hanya akan menambah kesukaran menghadapi musibah. Mengeluh tidak akan menyelesaikan masalah kerana walau bagaimana keluhannya, pada akhirnya, dia harus bersabar juga dan menerima semuanya.
Selain itu, kadangkala, semasa menghadapi sesuatu musibah itu, seseorang itu akan berasa sedih sehingga boleh menitiskan air mata. Sesungguhnya perasaan sedih yang tidak keterlaluan tidak akan menyebabkan dosa pada diri seseorang. Sebagai contoh, menangis kerana rasa sedih atas meninggalnya seseorang sebagai ungkapan dari belas kasihan adalah baik dengan syarat harus menerima semuanya dengan penuh kerelaan dan sabar. Begitu juga bagi orang yang bersedih kerana musibah yang menimpa diri kaum muslimin, maka perasaan sedih yang demikian itu juga akan mendapat pahala kerana orang yang demikian adalah termasuk dalam orng yang mencintai kebaikan dan membenci keburukan.
Akan tetapi jika kesedihannya itu menyebabkan dia meninggalkan perintah Allah SWT, serta mengerjakan larangan-Nya seperti tidak rela dan tidak sabar, maka perbuatan demikian itu termasuk perbuatan yang dilarang, bahkan ia akan memperoleh dosa san kesedihannya.
Selain dari itu juga, haruslah diingat, ketika seseorang itu ditimpa musibah, hendaklah dia berhati-hati dalam mengucapkan kata-kata. Jauhilah ucapan yang akan membuatkan Allah murka kepadanya serta boleh menghapuskan pahalanya. Sesungguhnya Allah SWT itu Maha Adil dan tidak akn berbuat kezaliman dan Maha Mengetahui segala yang dilakukan-Nya penuh kebijaksanaan, serta menyimpan banyak kebaikan.
Terdapat beberapa petua dalam menghadapi rintangan yang mendatang iaiatu jangan berputus asa dalam berdoa. Setiap orang dianjurkan supaya berdoa, akan tetapi tidak semua doa itu akan terus dikabulkan oleh Allah SWT. Ada yang cepat dan ada pula yanglambat. Jika sesuatu doa itu lambat dikabulkan oleh Allah SWT, janganlah berputus asa kerana Allah SWT lebih mengetahui apa yang terbaik untuk hamba-Nya.
Petua untuk menghadapi rintangan yang lain ialah dengan menghadap dan bersyukur kepada Allah SWT. Allah mahu supaya hamba-Nya supaya selalu mengingati dan kembali pada-Nya, walaupun kembalinya itu dengan cara paksa. Sebagai contoh, orang yang sakit, pada waktu sihatnya dia lupa kepada Allah SWT, akan tetapi kerana sifat kasih sayang-Nya, maka dia diingatkan dengan datangnya cubaan sakit. Akhirnya, dengan sakitnya itu ia terpaksa kembali mengingati Allah SWT. Oleh itu, sudah sepatutnya manusia selalu bersyukur kepada Allah SWT.
Selain itu, janganlah berpaling kepada selain Allah SWT dalam memohon semua keinginan. Hanya kepada-Nya sahaja semua hajat kita hadapkan. Sebab Dia adalah zat Yang Maha Pemurah, yang selalu menjadi harapan dari semua hajat yang kita perlukan. Justeru itu, jangan sekali-kali memohon sesuatu kepada selain-Nya.
Sebagai tambahan, jadikanlah al-Quran sebagai sahabat dalam kegelisahan. Bagi orang yang beriman, ia akan mengetahui bahawa Al-Quran mempunyai tugas kemanusiaan, baik untuk diri manusia secara peribadi mahupun untuk masyarakat umum, iaitu mengarahkan manusia dengan cara yang sempurna. Di samping itu juga, Al-Quran adalah ubat yang hakiki bagi penyakit kegelisahan manusia. Al-Quran adalah jawapan yang benar bagi tuntutan manusia yang hakiki. Manusia tidak akan mengetahui hakikat kemanusiaannya dan tidak akan mengetahui jalan hidup yang lurus, kecuali dengan petunjuk Al-Quran.

KESIMPULAN
Dalam kehidupan seharian, kita tidak akan dapat lari dari dugaan dan ujian. Kadangkala tidak kita sedari. Walaubagaimana pun, jikalau kita lihat dan memikirkannya, kita akan dapat lihat dan sedar bahawa disebalik setiap dugaan itu terdapat hikmah di sebaliknya. Sesungguhnya, Allah SWT Maha Mengetahui. Dia tahu apa yang terbaik untuk hamba-Nya dan manusia hanyalah insan yang lemah yang memerlukan petunjuk untuk menjalani kehidupan seharian. Oleh itu, setiap manusia harus bersyukur dengan apa nikmat yang telah dikurniakan dan menggunakannya sebaiknya. Dalam menghadapi dugaan pula, manusia seharusnya, menyedari hikmah disebalik setiap dugaan itu dan jadikannya dorongan untuk terus sabar dan tabah menghadapi segala cabaran yang mendatang.

No comments: