Mencari Lailatul Qadar

Oleh: Ashraf Bin Harun

Salah satu keagungan, keistimewaan dan kemuliaan Ramadan ialah satu malam penuh berkat yang lebih baik daripada seribu bulan.

Malam yang hanya muncul pada tanggal 21, 23, 25, 27 dan 29 ramadan yakni 10 hari terakhir Ramadan itu lebih dikenali sebagai Lailatul Qadar.

Rasulullah (SAW) sendiri memohon kepada Allah agar malam bersejarah yang penuh hikmah itu menemuinya.

Keistimewaan Lailatul Qadar diserikan lagi dengan penurunan wahyu al-Quran untuk pertama kalinya kepada Rasulullah sewaktu baginda berada di Gua Hira. Selepas itu al-Quran mula diturunkan secara berperingkat-peringkat dan beransur-ansur selama lebih kurang 23 tahun iaitu 13 tahun di Makkah dan 10 tahun lagi di Madinah al-Munawwarah. Peristiwa bersejarah penurunan al-Quran diabadikan Allah dalam helaian al-Quran.

Antaranya firman Allah bermaksud: ‘Sesungguhnya Kami menurunkan (al-Quran) ini pada Lailatul Qadar.
Malam yang penuh bersejarah itu dinilai sebagai malam yang lebih baik dan lebih banyak ganjarannya daripada seribu bulan .

Ulama bersepakat bahawa Lailatul Qadar berlaku pada Ramadan. Begitu juga mereka bersepakat malam itu berlaku pada 10 malam terakhir Ramadan.

Namun mereka berselisih pendapat mengenai malam ke berapa daripada 10 malam terakhir itu. Pendapat yang masyhur menyatakan bahawa Lailatul Qadar berlaku pada malam ke-27 Ramadan. Sehubungan itu, Rasulullah pernah bersabda yang maksudnya: ‘Barang siapa yang ingin mendapatkan Lailatul Qadar, dia hendaklah mencari pada malam ke-27.’ (Hadis riwayat Ahmad)

Ada juga riwayat lain yang mengatakan malam mulia itu berlaku pada malam-malam ganjil 10 hari terakhir.

Walau apapun harinya, yang penting pada malam itu Allah menurunkan rahmat, limpahan kurnia dan keampunan-Nya kepada hamba-Nya yang melaksanakan ibadat puasa dengan penuh keimanan.

Fadilat malam mulia ini akan menyinari orang yang benar-benar ikhlas, khusyuk dan istiqamah dalam mempertahankan nilai keIslaman dalam setiap percakapan, peri laku, akhlak, ibadat dan kegiatan sehariannya.

SEJARAH

Menurut sejarah Islam, Lailatul Qadar pertama kali menemui Rasulullah (SAW) ketika baginda sedang khusyuk menyendiri di Gua Hira, bermuhasabah dan merenung diri sendiri dan masyarakat sekeliling. Tidak berapa lama kemudiannya, datang al-Ruh al-Amin iaitu malaikat Jibril membawa bersama wahyu Ilahi untuk membimbing baginda sehingga berlakulah perubahan secara menyeluruh dalam setiap detik dan perjalanan hidupnya.

Selanjutnya, Lailatul Qadar adalah satu kurniaan Ilahi yang dianugerahkan oleh Allah kepada Rasulullah (SAW) dan umatnya sebagai tanda kasih sayang-Nya dan rahmat-Nya yang menyeluruh.

Justeru, amal kebajikan seseorang hamba Allah pada malam itu adalah lebih baik daripada amal kebajikan yang dilakukan selama seribu bulan. Lebih-lebih lagi, apabila dibanding dengan umur nabi dan umat terdahulu.

Kerana keutamaan inilah, Rasulullah (SAW) amat menganjurkan umatnya agar mencari dan seterusnya mendapatkan Lailatul Qadar yang penuh keberkatan.

Dalam hal ini, memadailah Rasulullah (SAW) sebagai model yang menampilkan teladan terpuji untuk diikuti oleh umat Islam seluruhnya dalam menghidupkan malam-malam terakhir Ramadan.

Rasulullah (SAW) juga tidak mendekati isteri-isterinya dengan tujuan memperbanyakkan amal ibadat dalam masjid seperti solat Tahajud, solat Witir, solat Tarawih, berzikir kepada Allah serta membaca dan tadarus al-Quran.

Baginda juga sentiasa memanjatkan doa ke hadrat Ilahi. Antara doa yang sering baginda baca ialah doa bermaksud: ‘Wahai Tuhan kami! Anugerahkanlah kepada kami kebajikan di dunia dan juga kebajikan di akhirat serta peliharakanlah kami daripada seksaan api neraka yang pedih.’

Doa yang dilafazkan itu bukan sekadar satu permohonan untuk memperoleh kebajikan dunia dan kebajikan akhirat saja, malah untuk memantapkan lagi langkah dan kesungguhan agar dapat meraih kebajikan yang dijanjikan Allah. Ini kerana doa itu sendiri membawa maksud satu permohonan yang penuh tulus dan pengharapan, di samping disusuli dengan usaha melipatgandakan amal ibadat yang mendekatkan diri kepada Allah.

Selain itu, setiap Muslim diharapkan agar bertaubat dan memohon ampun kepada Allah daripada segala dosa. Manusia tidak akan terlepas dari melakukan kesalahan dari sekecil-kecil zarah hinggalah sebesar-besar alam.

MALAM ISTIMEWA
Lailatul Qadar itu lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun berikut). Sejahteralah malam (yang berkat itu) hingga terbit fajar.’ (Surah al-Qadr, ayat 1-5).

Semua umat Islam tak ingin melewatkan bagi meraih lailatul qadar. Inikan pula, malam yang sangat istimewa sebagaimana disebutkan dalam Al-Quran adalah malam yang lebih baik dari seribu bulan, iaitu 83 tahun lebih 4 bulan (lailatul qadri khairun min alfi sahr).
Seumpama sehari orang solat fardlu 17 rakaat, maka selama seribu bulan pahalanya digandakan dengan solat 510.000 rakaat. Walhal, rata-rata usia umat Muhammad berkisar 60 tahun. Kalau sehari melaksanakan solat wajib 17 rakaat, maka dalam usia 60 tahun hanya mampu melaksanakan 367.200 rakaat. Betapa besar kemuliaan yang dijanjikan Allah pada lailatul qadar.
Pertanyaan, bilakah sebenarnya malam lailatul qadar itu? Dalam Al-Quran Allah bertanya, tahukah kamu apakah malam lailatul qadar itu? Allah menjawab pada ayat berikut (lailatul qodri khoirun min alfi sahr) Allah sengaja merahsiakan bila hari lailatul qadar agar manusia berpikir.
Ada juga yang berpendapat, ia sengaja dirahsiakan Allah agar umat Islam menghidupkan ramadan sejak awal hingga akhir. Andaikan para kiai dan ulama sepakat lailatul qadar pada malam ke-27 misalnya, mungkin umat Islam di dunia pilih beribadah habis-habisan pada malam itu saja. Malam-malam ramadan yang lain akan diabaikan.
Ada juga yang menterjemahkan (salamun hiya hatta mathlail fajr) atau malam itu penuh kesejahteraan sampai terbit fajar. Tidak hanya sampai terbitnya matahari, tetapi panjang sampai hitungan yang tidak terbatas. Umat Islam yang meyakini lailatul qadar berada di malam ganjil di atas tanggal 20 ramadan mungkin dilandasi oleh sebuah hadits yang ertinya carilah lailatul qadar pada malam ganjil, sepertiga yang terakhir dari bulan ramadhan.
Jadi, tidak perlu disalahkan jikalau para ulama dan mubaligh mengekploitasi hadis ini besar-besaran.

CARA MENGHITUNG
Untuk mengetahui bila hari lailatul qadar itu, Imam Asy-SyaĆ­roni memberi pedoman dengan melihat awal ramadan. Kalau awal ramadan jatuh pada Jumaat atau Selasa, bererti lailatul qadar jatuh pada malam 29 ramadan.
Kalau awal ramadan jatuh pada Ahad atau Rabu maka lailatul qadar jatuh pada malam 27 ramadan.
Jika awal ramadan Khamis, maka lailatul qadar jatuh pada malam 25 ramadan. Kalau awalnya Sabtu jatuh pada malam 23 ramadan dan jika awal ramadan pada Isnin maka jatuh pada malam 21 ramadan.

TANDA – TANDA MALAM LAILATUL QADAR
Imam Asy-SyaĆ­roni juga memberikan tanda-tanda, iaitu pada malamnya cuaca dalam keadaan terang benderang dan cerah, tidak ada hujan dan bintang di langit menampakkan sinarnya, angin mendayu-dayu dan tidak panas.
Pagi harinya matahari terbit tidak langsung memancarkan sinar panas tetapi agak redup dan tidak mendung.
Pada asasnya, kita setuju kalau ada yang berpendapat malam kemuliaan itu sejak awal hingga akhir ramadan. Yang penting, gelora semangat untuk beribadah terpapar tidak hanya di bulan suci ramadan, akan tetapi juga 11bulan lain di luar bulan suci ramadan.

KESIMPULAN
Insya Allah kalau sejak awal ramadan kita membiasakan qiyamul lail, shalat tasbih, tahajud, hajat, tawarih dan lain-lain kita akan mendapat berkah lailatul qadar. Amin ya rabbal alamin.


Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau
Perlis
MALAYSIA

P: 04-9882701
H: 013-4006206
E: abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
W: abdazizharjin.blogspot.com