Mahar atau maskahwin dalam pernikahan

Oleh: Hafizah Bt. Md Saad

Abstrak
Melalui tugasan ini kita akan lebih memahami secara lebih mendalam apakah erti sebenar mahar. Masyarakat pada masa sekarang hanya menganggap mahar itu sebagai pemberian yang diwajibkan bagi melengkapkan sesebuah perkahwinan. Mereka tidak mengetahui bahawa mahar itu mempunyai maksud dan hikmah yang tersendiri dalam Islam. Oleh itu,kita sebagai umat Islam perlulah mengetahui secara lebih dekat apakah yang terkandung di sebalik pengwajiban mahar oleh suami kepada seorang isteri.

Mahar:suatu nilai bagi wanita
Definisi Mahar
Berasal daripada perkataan Arab. Di dalam al-Quran istilah mahar disebut
dengan al-sadaq, al-saduqah, al-nihlah, al-ajr, al-faridah dan al-‘aqd.
Menurut istilah syara’ mahar ialah suatu pemberian yang wajib diberikan oleh
suami kepada isteri dengan sebab pernikahan.Mahar juga adalah hak/harta isteri yang wajib suami serahkan kepada isteri untuk menghalalkan pernikahan antara keduanya, sama ada disebut ketika akad atau tidak disebut.
Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Carilah untuk dijadikan mas kahwin walaupun sebentuk cincin yang diperbuat daripada besi.” (Hadis riwayat Bukhari )
Mas kahwin boleh diberikan dalam bentuk apa saja asalkan berfaedah, sama ada wang ringgit, barang atau sesuatu yang bermanfaat. Rasulullah SAW pernah mengahwinkan seorang lelaki yang tiada memiliki sesuatu apapun untuk dijadikannya mas kahwin lalu Rasulullah SAW bertanya kepada lelaki itu: “Adakah kamu menghafaz sedikit daripada ayat al-Qur’an? Lelaki itu menjawab dia mengingati beberapa surah kemudian Rasulullah SAW pun mengahwinkan lelaki itu dengan mas kahwin surah yang diajarkan kepada perempuan yang bakal menjadi isterinya. Mahar juga disebut sebagai ‘Sadoqathinna’ bagi menggambarkan kebenaran dan kesungguhan keinginan untuk berkahwin daripada pihak yang memberi atau dengan kata lain menunjukkan bahawa pihak suami benar-benar ingin berkahwin apabila dia bersedia memberikan mas kahwin kepada isteri. Mengikut Tafsiran Akta Undang-Undang Keluarga Islam ( Wilayah Persekutuan) 1984 menyatakan “ mas kahwin “ bererti pembayaran perkahwinan yang wajib dibayar di bawah Hukum Syara’ oleh suami kepada isteri pada masa perkahwinan diakadnikahkan, sama ada berupa wang yang sebenarnya dibayar atau diakui sebagai hutang dengan atau tanpa cagaran, atau berupa sesuatu yang, menurut Hukum Syara’, dapat dinilai dengan wang.
Terdapat banyak dalil yang mewajibkan mahar kepada isteri antaranya firman
Allah dalam surah al-Nisa’ ayat 4 :
“ Dan berikanlah kepada perempuan-perempuan ( isteri ) akan mas kahwin mereka itu sebagai pemberian ( yang wajib ). Kemudian jika mereka menyerahkan kepada kamu sebahagian dari mas kahwinnnya, maka makanlah ( gunakanlah ) pemberian tersebut sebagainikmat yang baik lagi lazat “
Firman Allah Ta’ala dalam surah al-Nisa ayat 24:
“ Mana-mana perempuan yang kamu nikmati percampuran dengannya ( setelah dia menjadi isteri kamu ) maka berikanlah mereka maharnya ( ajr ) sebagai satu ketetepan yang difardhu ( diwajibkan oleh Allah Taala )”
Pemberian mahar suami sebagai lambang kesungguhan suami terhadap isteri.Selain itu ianya mencerminkan kasih sayang dan kesediaan suami hidup bersama isteri serta sanggup berkorban demi kesejahteraan rumah tangga dan keluarga. Ia juga merupakan penghormatan seorang suami terhadap isteri.Walau bagaimanapun mahar tidaklah termasuk di antara rukun-rukun nikah atau syarat sahnya sesuatu pernikahan. Sekiranya pasangan bersetuju bernikah tanpa menentukan jumlah mahar, pernikahan tersebut tetap sah tetapi suami diwajibkan membayar mahar misil ( yang sepadan ). Ini berdasarkan satu kisah yang berlaku pada zaman Rasulullah s.a.w. di mana seorang perempuan telah berkahwin tanpa disebutkan maharnya. Tidak lama kemudian suaminya meninggal dunia sebelum sempat bersama
dengannya ( melakukan persetubuhan ) lalu Rasulullah mengeluarkan hukum supaya perempuan tersebut diberikan mahar misil untuknya.
Pemberian Mahar
Memberi mahar kepada isteri hukumnya wajib. Menurut Abu Hanifah, isteri
berhak mendapat mahar apabila akad nikahnya sah. Manakala dalam mazhab Syafi’e
pula diwajibkan mahar bukan disebabkan akad nikah yang sah sahaja tetapi juga
dengan persetubuhan. Sekiranya akad nikah tersebut fasid ( tidak sah ), suami tidak
wajib memberi mahar kepada isteri melainkan setelah berlakunya persetubuhan.

Mas Kahwin Dan Pemberian Menurut Peruntukan Undang-Undang Keluarga
Islam
Mengikut peruntukan seksyen 21 ( 1 ) dan ( 2 ) dalam Akta Undang-Undang
Keluarga Islam ( Wilayah Persekutuan ) 1984 ( Akta 303 ) berbunyi seperti berikut :
(1) Mas kahwin hendaklah biasanya dibayar oleh pihak lelaki atau wakilnya
kepada pihak perempuan atau wakilnya di hadapan orang yang mengakadnikahkan
perkahwinan itu dan sekurang-kurangnya dua orang saksi lain.
(2) Pendaftar hendaklah, mengenai tiap-tiap perkahwinan yang hendak
didaftarkan olehnya, menentu dan merekodkan :-
a) nilai dan butir-butir lain mas kahwin;
b) nilai dan butir-butir lain pemberian;
c) nilai dan butir-butir lain apa-apa bahagian mas kahwin atau pemberian
atau kedua-duanya yang telah dijanjikan tetapi tidak dijelaskan pada
masa akadnikah itu, dan tarikh yang dijanjikan untuk penjelasan; dan
d) butir-butir cagaran yang diberi bagi menjelaskan mas kahwin atau pemberian.

Kadar Mahar
Islam tidak menetapkan kadar serta had yang paling maksima dan minima dalam
menentukan mahar bagi seseorang wanita. Ianya bergantung kepada uruf iaitu keadaan semasa dan suasana sesuatu tempat dan masyarakat. Sungguh pun demikian, Islam menganjurkan agar kita mengambil jalan tengah iaitu tidak meletakkan mahar terlalu tinggi dan tidak pula terlalu rendah. Rasulullah s.a.w. menggalakkan kita agar
mempermudahkan mahar sebagaimana dalam sabdanya :
" اعظم النساء برآة أيسرهن مؤنة "
Kebanyakan perempuan yang berkat perkahwinannya ialah yang mudah ( rendah ) tentang perbelanjaan ( mahar ). ( Riwayat Ahmad dan al-Hakim )
Daripada ‘Aisyah, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Sesungguhnya nikah yang paling besar keberkatannya ialah yang paling mudah (rendah) maharnya.” (Hadis riwayat Al-Baihaqiy) Daripada ‘Aisyah, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Setengah daripada keberkatan wanita ialah mudah peminangannya dan mudah maharnya.” (Hadis riwayat Al-Baihaqiy) Abu Hurairah berkata, “Adalah sodaq kami ketika zaman Rasulullah ada bersama kami 10 waqyah.” (1 waqyah bersamaan 40 dirham) Saidina Umar berkata: “Awas! Janganlah kamu melampau dalam memberi mas kahwin kepada wanita kerana sesungguhnya jika wanita itu seorang yang mulia di dunia atau seorang yang bertakwa di sisi Allah, nescaya Rasulullah SAW orang yang paling utama berbanding kamu dalam memberi mas kahwin yang banyak. Padahal aku tidak pernah mengetahui Rasulullah SAW berkahwin dengan mana-mana isterinya atau mengahwinkan mana-mana puterinya dengan mas kahwin lebih daripada 12 waqyah.” (Hadis riwayat Al-Tirmizi )
Mengenai kadar melampau batas, menurut Ibn Qudamah (Mazhab Hambali), tidak digalakkan lebih daripada 500 dirham, iaitu kadar mahar isteri Rasulullah SAW, begitu juga pendapat ulama Mazhab Syafie, Maliki, had melampau ialah kadar melebihi kebiasaan orang ramai. Walau bagaimanapun suami boleh memberikan mahar yang tinggi kepada isteriberdasarkan kepada ayat al-Quran dalam surah al-Nisa’ ayat 20 :“ Kamu telah memberikan kepada salah seorang daripada mereka harta yang banyak“ Di Malaysia pemberian mahar diberikan oleh suami kepada isteri dalam bentuk wang ringgit yang kadarnya berbeza dari satu negeri dengan negeri yang lain. Jumlah mas kahwin bagi seorang perempuan, mengikut negeri dan kategori

BIL NEGERI NILAI CATATAN
ANAK DARA JANDA
1 JOHOR RM 22.50 RM 22.50
2 MELAKA RM 40.00 RM 40.00
3 NEGERI SEMBILAN
a. Bukan Waris RM 24.00 RM 12.00
b. Ahli Waris RM 48.00 RM 24.00
c. Kerabat Diraja di Wilayah RM 725.00
Datuk Kelana& Kerabat
4 SELANGOR
i. Puteri Sultan RM 2,500.00 RM 625.00
ii. Puteri Raja Muda atau Puteri RM 2,000.00 RM 500.00
kpd Putera Sultan yg bergelar
iii. Puteri Kerabat RM 1,000.00 RM 250.00
iv. Puteri Anak Raja (Waris) RM 550.00 RM 137.50
Puteri Anak Raja (yang lain) RM 300.00 RM 75.00
v. Anak Perempuan org-org besar RM 300.00 RM 75.00
vi. Cucu orang besar RM 200.00 RM 50.00
vii. Orang Kebanyakkan RM 80.00 RM 40.00
5 KUALA LUMPUR RM 80.00 RM 40.00
6 PERAK RM 101.00
7 PULAU PINANG RM 24.00 RM 24.00
8 KEDAH Tidak ditetapkan
9 PERLIS Tidak ditetapkan
10 PAHANG RM 22.50 RM 22.50
11 TERENGGANU Tidak ditetapkan
12 KELANTAN Tidak ditetapkan
13 SABAH RM 100.00 RM 80.00
14 SARAWAK RM 120.00 RM120.00
15 W.P LABUAN RM 80.00 RM 80.00
* boleh ditambah, tetapi tidak boleh dikurangkan.

Jenis Mahar
a. Mahar Musamma
Mahar yang disebut dengan jelas jumlah dan jenisnya dalam suatu akad nikah
seperti yang diamalkan dalam perkahwinan masyarakat kita pada hari ini.
Ulama’ telah bersepakat bahawa mahar musamma wajib dibayar oleh suami
berlaku salah satu daripada perkara-perkara berikut :-
1) Berlakunya persetubuhan di antara suami isteri.
2) Kematian salah seorang di antara mereka sama ada suami atau isteri.
b. Mahar Misil ( mahar yang sepadan )
Mahar yang tidak disebut jumlah dan jenisnya dalam suatu akad nikah.
Sekiranya berlaku keadaan ini, mahar tersebut hendaklah diqiaskan ( disamakan )
dengan mahar perempuan yang setaraf dengannya di kalangan keluarganya sendiri
seperti adik beradik perempuan seibu sebapa atau sebapa atau ibu saudaranya.
Sekiranya tiada, maka diqiaskan pula dengan mahar perempuan-perempuan lain yang
setaraf dengannya dari segi kedudukan dalam masyarakat dan sekiranya tiada juga,
terpulang kepada suami berdasarkan kepada adat dan tradisi setempat.
Selain daripada itu terdapat perkara-perkara lain yang perlu diambil kira dalam
menentukan mahar misil iaitu dari sudut rupa paras, kekayaan, keadaan setempat,
keagamaan , ketakwaan, keilmuan, kecerdasan fikiran , keluhuran budi serta status
perempuan tersebut sama ada gadis atau janda dan perkara-perkara yang boleh
dijadikan penilaian. Ini kerana kadar mahar berbeza dengan berbezanya sifat-sifat
di atas.

Mendapat Separuh Mahar Atau Tidak Berhak Mendapat Langsung
Sebagaimana yang kita sedia maklumi , apabila berlakunya suatu akad nikah
yang sah, maka wajib bagi suami membayar mahar kepada isteri sama ada berupa
mahar musamma atau pun mahar misil kerana ia merupakan hak isteri.
Walau bagaimanapun terdapat keadaan yang menyebabkan isteri hanya berhak
mendapat separuh sahaja daripada mahar tersebut atau pun tidak mendapat apa -apa
mahar langsung daripada suami iaitu :-
a) Isteri hanya mendapat separuh sahaja daripada mahar apabila
berlakunya perceraian sebelum persetubuhan. Ini berdasarkan kepada firman Allah Taala dalam surah al-Baqarah ayat 237 :
“ Dan jikalau kamu menceraikan mereka itu ( isteri-isteri ) sebelum kamu menyetubuhi mereka walhal kamu telah menetapkan mahar kepada mereka, maka diwajibkan ( bayarannya )separuh daripada yang kamu tetapkan kecuali jika mereka sendiri memaafkan atau orang yang mempunyai kuasa perwalian memaafkannya “
Ayat di atas menyatakan bahawa sekiranya mahar isteri telah disebutkan ketikaakad nikah dan berlakunya penceraian sebelum persetubuhan, maka suami hanya wajib membayar separuh sahaja daripada mahar tersebut. Tetapi sekiranya mahar tidak disebut ketika akad nikah, suami wajib membayar mahar misil kepada isteri.Menurut pendapat Imam Syafi’e dan Imam Malik sekiranya berlaku perceraian
sebelum persetubuhan, suami hanya wajib membayar separuh sahaja mahar kepada
isteri sama ada mahar tersebut disebut semasa akad nikah atau sebaliknya.
b) Isteri tidak berhak langsung untuk mendapat pemberian mahar daripada
suami apabila berlakunya perceraian disebabkan fasakh ( dari pihak isteri ) sebelum berlakunya persetubuhan.

Hikmah Disyariatkan Mahar
Antara hikmah disyariatkan mahar adalah dapat menunjukkan kemuliaan wanita. Ini kerana membuktikan kaum adam itu memerlukan kaum hawa untuk bersamanya. Kaum lelaki yang berusaha untuk mendapatkan wanita meskipun harus mengorbankan hartanya. Selain daripada itu syariat ini juga menunjukkan cinta dan kasih sayang seorang suami kepada isterinya, kerana mas kawin itu sifatnya pemberian, hadiah, atau hibah sepertimana yang diistilahkan di dalam Al-Quran sebagai nihlah (pemberian dengan penuh kerelaan), bukan sebagai pembayar harga wanita. Allah SWT berfirman, “Berikanlah maskawin (mahar) kepada wanita (yang kamu nikahi) sebagai pemberian dengan penuh kerelaan. Kemudian jika mereka menyerahkan kepada kamu sebagian dari maskawin itu dengan senang hati, maka makanlah (ambillah) pemberian itu (sebagai makanan) yang sedap lagi baik akibatnya.”
Pemberian mahar ini turut menunjukkan kesungguhan seseorang lelaki itu untuk memiliki pasangannya kerana nikah dan berumah tangga bukanlah perkara remeh dan perkara yang bisa dipermainkan. Di samping itu ia turut menunjukkan tanggungjawab suami dalam kehidupan rumah tangga dengan memberikan nafkah, kerana kaum lelaki adalah pemimpin kepada kaum wanita dalam kehidupan rumah tangganya. Dan untuk mendapatkan hak itu, wajar bagi suami untuk mengeluarkan hartanya suapaya dia berasa lebih bertanggungjawab dan tidak sewenang-wenang melepaskan tugasnya terhadap isterinya. Allah telah berfirman, “Lelaki itu adalah pemimpin atas wanita, karena Allah telah melebihkan sebagian mereka (lelaki) atas sebagian yang lain (wanita), dan kerana mereka (lelaki) telah menafkahkan sebagian dari harta mereka.”

Kesimpulan
Mahar adalah hak isteri yang diberikan oleh suami dengan hati yang tulus ikhlas tanpa mengharapkan balasan sebagai pernyataan kasih sayang dan tanggungjawab suami atas kesejahteraan rumah tangga. Ianya bertujuan untuk menggembira dan menyenangkan hati isteri agar isteri merasa dihargai dan bersedia untuk menjalani kehidupan bersama suami.
Mahar adalah menjadi hak milik isteri. Sekiranya ia tidak disebut sekalipun
Para mujtahidin telah sepakat mengatakan bahawa tidak kadar dan had yang
tertentu dalam meletakkan kadar mahar yang paling maksima. Terdapat satu peristiwa
yang berlaku yang berlaku di zaman Umar al Khattab (r.a) di mana beliau melarang
orang ramai dari meninggikan kadar mahar iaitu tidak boleh lebih daripada empat
dirham katanya, “ Janganlah kamu meninggikan mahar perempuan kerana jikalau
dia dimuliakan di dunia, atau mahu bertaqwa kepada Allah, maka yang lebih utama
ialah contoh daripada Rasulullah yang tidak menetapkan mahar kepada isterinya mahupun bagi puteri-puterinya melebihi dua belas auqiah. Oleh sebab itu sesiapa yang melebihi daripada 440 dirham walaupun lebihannya sedikit maka yang itu dimasukkan ke dalam Baitulmal “. Lantas seorang perempuan Quraisy membantah sambil berkata : “ Allah telah berfirman di dalam al-Quran :
Terjemahan : “ Apabila kamu telah memberikan kepada mereka itu ( isteri ) sepikul
mahar, maka jangan kamu ambil walupun sedikit daripada mahar itu “
( surah al Nisa : 20 )



Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau
Perlis
MALAYSIA

P: 04-9882701
H: 013-4006206
E: abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
W: abdazizharjin.blogspot.com