Tanda-Tanda Kebesaran Allah Subhanahu Wa Ta’ala

Oleh: Najlaa Sadiq Binti Mokhtar

Abstrak

Allah Maha Besar lagi Maha Perkasa. Bagi manusia yang ingkar dan tidak menggunakan akal fikiran yang telah di kurniakan sebagai satu kelebihan mengatasi makhluk Allah yang lain, sesungguhnya mereka termasuk golongan yang rugi.

Begitu banyak tanda-tanda kebesaran Allah secara langsung atau tidak. Ini semua agar manusia sentiasa beringat dan agar manusia tidak leka mengejar dunia sahaja.

Allah juga telah memberi peringatan kepada manusia tentang tanda-tanda kebesaran dan kewujudan Nya. Manusia yang berfikir sahaja akan dapat mengetahui pelbagai tanda tentang Allah melalui bukti-bukti yang tersurat mahupun yang tersirat. Bukti yang paling dekat dengan kita sebenarnya terdapat pada diri kita sendiri seaandainya diperhatikan.

Manusia sebenarnya secara naluri dan fitrah mampu untuk mengamati dan menyelidik tanda-tanda kebesaran Allah dan beriman kepadaNya namun, kebanyakkan manusia terjurumus dengan pengaruh dan hasutan syaitan serta nafsu sehingga meninggalkan al-Quran dan Sunnah RasulNya sebagai panduan dan pegangan hidup.

PENDAHULUAN

Manusia kadang-kadang gagal menggunakan akal fikiran mereka sepenuhnya dan hampir tidak menyedari bahawa di sekitar dan sekeliling mereka terdapat berbagai-bagai tanda kebesaran Allah s.w.t. Contohnya seperti tumbuh-tumbuhan, haiwan, fenomena-fenomena alam seperti gempa bumi, taufan, banjir, kilat, hujan, gerhana, gunung berapi dan sebagainya adalah tanda-tanda kebesaran Allah yang perlu difikirkan oleh manusia.

Selain itu, jika diperhatikan, setiap inci tubuh manusia sendiri terdapat pelbagai tanda yang menunjukkan kebesaran dan kehebatanNya sebagai pencipta yang Maha Agung.

Allah s.w.t. memberikan kelebihan kepada manusia iaitu akal dan fikiran agar manusia mampu untuk berfikir tentang rahsia-rahsia yang terdapat di langit dan di bumi untuk membawa mereka menuju kea rah pemikiran yang benar. Dalam ayat al-Quran juga banyak terdapat perbincangan-perbincangan mengenai aspek-aspek alam dan segala hal yang berkaitan dengannya sebagai bukti tentang kekuasaan Allah s.w.t dan tanda-tanda kebesaranNya.

Namun begitu, fungsi akal untuk memahami hakikat kebesaran dan kekuasan Allah s.w.t sangat terhad kerana kita sebagai manusia biasa hanya mampu menafsirkan apa yang dilihat dalam pengertian yang sempit sehingga manusia tidak tahu bagaimanakah cara-caranya untuk mengakui tentang kekuasaan Allah s.w.t . tersebut.

Oleh kerana kasih sayang Allah s.w.t. terhadap manusia maka Allah telah menurunkan mukjizat berbentuk risalah tauhid yang mengandungi ajaran-ajaran, perintah-perintah dan larangan-laranganNya yang disampaikan oleh para utusanNya iaitu para Nabi dan Rasul.

Oleh itu, marilah kita sama-sama menyingkap pengertian sebenar mengenai tanda-tanda kebesaran Allah dan menghayati dengan sedalam-dalamnya hikmah seluruh penciptaanNya.

MAKHLUK SEBAGAI TANDA KEBESARAN ALLAH

Apabila kita mengkaji mengenai kejadian dan penciptaan makhluk Allah itu sendiri, maka kita akan menyedari betapa agung dan hebatnya kekuasaan Allah s.w.t. Sesungguhnya sebelum manusia diciptakan, terlebih dahulu Allah telah menciptakan ala mini sebagai tempat kediaman manusia. Oleh itu, jelaslah bahawa manusia adalah proses terakhir untuk melengkapkan alam ini kerana manusia diciptakan untuk mentadbir alam ini.

Allah juga telah menciptakan benda-benda yang keadaan fizikalnya lebih kuat daripada kemampuan manusia untuk memenuhi keperluan manusia namun, untuk memenuhi segala keinginan dan keperluan manusia, manusia hendaklah berusaha dan bekerja agar dapat memanfaatkan segala kemudahan yang telah disediakan untuk membangunkan dan memakmurkan bumi ini. Dengan itu, jelaslah bahawa dengan menggunakan akal sahaja manusia telah dapat mengetahui bahawa alam telah diciptakan oleh Allah s.w.t untuk manusia sebelum manusia itu sendiri diciptakan. Oleh itu, tidak ada manusia yang dapat menafikan tentang hakikat ini.

PENCIPTA SEGALA-GALANYA

Kayu digunakan untuk membuat bangunan, rotan digunakan untuk membuat perabot dan sebagainya. Manusia sebenarnya hanya mampu meningkatkan kualiti dan kuantiti sahaja melalui pelbagai kaedah. Semua hasil penemuan baru itu hanyalah penelitian dari suatu benda yang telah wujud dan tidak ada satu pun yang dihasilkan manusia berasal daripada benda yang tidak wujud sebelumnya di dunia ini. Samalah juga macam adanya haiwan dan tumbuh-tumbuhan.

Adakah seorang manusia dapat menciptakan sesuatu yang baru dan bukan makhluk Allah s.w.t. iaitu daripada sesuatu yang sama sekali tidak wujud sebelum ini. Oleh itu dalam al-Quran Allah telah mengemukakan cabarannya terhadap manusia mengenai hal ini. Cabaran ini akan terus berlaku sampai hari kiamat, namun tidak seorang manusia pun yang akan dapat menyahut cabaran ini iaitu tidak akan mampu untuk menciptakan suatu kehidupan baru, biarpun cuma seekor lalat.

KEBEBASAN TAKDIR DAN HUKUM ALAM

Benarkah esuatu yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t. adalah merupakan takdirnya dan hal ini tidak pernah dipinda? Manusia tidak mempunyai kebebasan bertindak? Pendapat ini amat bertentangan kerana Allah telah menyertakan pelbagai pelbagai tanda-tanda tentang kebebasan takdirNya tetapi bukan di dalam hokum alam. Ini disebabkan apabila Allah memberikan kebebasan takdirnya dalam hukum alam, maka matahari akan bebas terbit sehari suntuk dan terbenam beberapa hari mengikut keinginannya.

Walaupun demikian, adalah tidak benar orang yang mengatakan bahawa hukum Allah ini tidak memberikan kebebasan takdir terhadap makhluknya, justeru dengan inilah Allah telah memberikan kebebasan kepada makhluk ciptaanNya agar alam tidak binasa. Allah tidak mahukan adanya hukum yang dapat merosakkan ini tetapi, Dia mahukan adanya alam yang sesuai dengan keagumgan dan kemampuan serta keindahan penciptaanNya. Maka dengan kebebasan takdirNya ditetapkanlah hukum alam yang tetap dan berkembang.


MEMPERHATIKAN DIRI SENDIRI SEBAGAI SATU TANDA KEBESARAN ALLAH

Sesungguhnya manusia lupa dan sering mengabaikan tanda-tanda kebesaran Allah yang terdapat pada diri mereka sendiri jika mereka mengkaji dan menyelidikinya. Manusia kebanyakannya gagal untuk menemukan jawapan mengenai kebesaran Allah s.w.t. pada diri mereka dan memahami hakikat mengenai proses penciptaan mereka yang mengandungi banyak hikmah dan rahsia keagungan Allah s.w.t.

Maksud yang tersirat ini ialah Allah s.w.t menyedarkan manusia (baik beriman mahupun kafir) bahawa mereka sebenarnya tidak dapat lari daripada kenyataan tentang adanya pencipta Yang Maha Agung yang menjadikan seluruh alam dan segala isinya dan ingin mengembalikan mereka kepada kesaksian mereka yang sebenarnya ketika di alam roh, namun hanya golongan yang berfikir sahaja dapat menemui kebenaran mengenai hakikat ini.

SEMPADAN ANTARA KEBAIKAN DAN KEJAHATAN

Siapakah yang mengajarkan manusia antara baik dan jahat? Sehingga perbuatan baik terasa sesuai dengan naluri dan jiwa sedangkan perbuatan jahat yang dilakukan seakan-akan menyeksa batin dan merosakkan mental pelakunya.

Jawapannya adalah ini semua adalah fitrah manusia. Hal ini merupakan pemberian Rububiyah dan benda ini terdapat pada seluruh jiwa manusia. Maka sesungguhnya Allah s.w.t. adalah Tuhan seluruh umat manusia, baik yang beriman mahupun kafir.

SENYUM DAN TANGIS ADALAH ANUGERAH ALLAH S.W.T.

Apabila kita melihat orang tersenyum, tertawa atau menangis iainya menunjukkan satu tindak balas yang sama dan tidak menunjukkan adanya cirri-ciri ketawa atau menangis yang khusus berdasarkan warna kulit ataupun etnik. Apabila manusia ketawa atau menangis,semuanya menunjukkan ekspresi wajah dan mimik muka yang seiras.

TANDA-TANDA KEBESARAN ALLAH PADA JIWA MANUSIA

KEKAFIRAN ABU LAHAB

Perasaan hati, pertimbangan serta akal fikiran manusia sepenuhnya berada di tangan Allah s.w.t. Dia hanya memberinya sekadar yang dikehendakiNya sahaja. Salah satu contohnya ialah kisah Abu Lahab. Jikalau dilihat dari segi peluang, kemungkinannya untuk memeluk islam ada seperti tokoh kafir yang lain tetapi, kalau hal itu terjadi maka runtuhlah seluruh masalah keimanan kerana al-Quran telah menentapkan bahawa Abu Lahab akan mati dalam kekafiran.

Allah s.w.t Maha Mengetahui terhadap apa yang tersimpan dalam hati hambaNya, maka al-Quran pun menyatakan bahawa Abu Lahab memang berkeras hati dengan mengambil jalan kekafiran sebagai pilihan.

PENUKARAN ARAH KIBLAT

Ketika kiblat ke Baitul al-Maqdis dialihkan ke Kaabah al-Musyarafah, Allah telah berfirman bahawa akan tersesat orang-orang yang kurang pemikirannya untuk memahami hal penukaran arah kiblat.

Ini menerangkan tentang jiwa kaum yang bukan mukmin yang telah diketahui oleh Allah sebelum mereka menunjukkan sikap yang mereka maksudkan. Akhirnya pembohongan mereka itu terbukti sebagaimana yang diterangkan oleh al-Quran sebelumnya.

Meskipun tujuan kaum kafir bersikap demikian untuk meruntuhkan agama Islam, pada hakikatnya mereka tidak berhasil memanfaatkan peluang tersebut. Oleh yang demikian, apa yang menjadi hal yang ghaib daripada Allah s.w.t pasti terlaksana meskipun hasrat dan kemahuan manusia tidak seiring dengannya.

KESIMPULAN

Sampai sini sahajalah perjalanan kita dalam menyingkap kebesaran dan kehebatan Allah s.w.t. KeagunganNya tiada tandingan. Begitu banyak tanda-tanda tentang kebesaranNya tanpa kita sendiri sedari. Kadang-kadang benda itu kita sendiri tak jangka. Ya Allah lemahnya hambaMu ini. Ingin saya masukan satu kata-kata iaitu, “Apabila doa kita dimakbulkanNya, itu tandanya Allah sayang pada kita. Apabila doa kita lambat dimakbulkanNya, itu tandanya Allah sedang menguji kita. Dan apabila doa kita tidak dimakbulkanNya itu bermakna Allah telah merancang sesuatu yang lebih baik untuk kita.” Ingatlah sesungguhnya kasih sayang Allah s.w.t melampaui kemurkaanNya pada kita. Bertapa hebatnya kebesaran Allah. Subhanallah Maha Suci Allah.Takbir!