Sunday, April 12, 2009

Psikologi Cinta Dalam Islam

Oleh: Siti Aishah Bt Zainol

Cinta adalah fitrah kerana setiap orang di anugerahkan naluri untuk menyayangi dan disayangi . Bercinta bukanlah satu kesalahan asalkan mengikut batas yang ditetapkan agama. Namun banyak pencemaran dan kekeliruan berlaku dalam penghayatan konsep cinta dan kefahaman mengenai kepentingannya dalam kehidupan.

Cinta diiktiraf sebagai keperluan hidup dan juga jalan untuk mengenali dan membesarkan Allah s.w.t,sebagaimana yang dinyatakan dalam Al-Quran ayat 49 surah Al-Zariyat, “Dan segala sesuatu Kami ciptakan berpasang-pasangan supaya kamu mengingati kebesaran Allah s.w.t.

Menurut Dr.Robiah Kulop Hamzah di dalam bukunya yang bertajuk “Remaja dan Cinta,zaman remaja adalah zaman yang penuh dengan pancaroba,konflik ataupun krisis. Keadaan ini berlaku akibat perubahan hasil kematangan jantina sehingga mengakibatkan terjadi kecelaruan peribadi,kenakalan dan penentangan. Emosi remaja mudah tersentuh,mereka menjadi lebih emosional dan mudah berubah.Pendek kata,selagi tidak bertemu identiti diri yang dicari-cari,mereka akan terus berkeadaan begini.

Percintaan hari ini tidak dapat disamakan dengan percintaan zaman dahulu.Meminjam kata-kata Umar Al-Khatab,”Didiklah anakmu selari dengan zamannya”.Maka,pendekatan yang digunakan dalan menangani kepincangan cinta hari ini harus sesuai dengan zaman.

“Cinta itu kuasa yang luar biasa kerana mampu membuat seseorang melakukan sesuatu yang tidak terfikir oleh akal. Qois mati mendakap nisan Laila, Sappo dalam dongengan Yunani sanggup terjun dari puncak karang yang tinggi kerana berat menanggung rindu dan cinta, Rama sanggup berkorban apa saja demi Sita, Shah Jehan membina Taj Mahal sebagai bukti cinta kepada isterinya, kisah Laila dan Majnun serta Romeo dan Juliet membuktikannya.”

Islam meletakkan cinta pada tempat yang tertinggi iaitu cinta suci kepada yang maha pencinta dan menjadikannya agenda utama dalam kehidupan. Kemuliaan cinta terletak pada keikhlasan individu yang terbabit dalam percintaan.Dr Mahmod Asy-Syarif di dalam bukunya Al-Hubb fil-Quran menyatakan,”Islam adalah agama cinta dan mukmin tidak merasakan manisnya sehingga ia merasakan nikmatnya cinta”.Rasulullah,rasul pembawa cinta dan kesejahteraan memberitahu 3 perkara yang membolehkan seseorang berasa manisnya iman iaitu apabila dia mencintai Allah dan rasul lebih daripada yang lain,mencintai seseorang hanya kerana Allah dan benci untuk kembali pada kekafiran seperti ia tidak suka dilontarkan dalam neraka.

Cinta unggul didefinisikan sebagai cinta tulen kepada pencipta segala cinta,iaitu Allah S.A.W.Cinta yang tulen ini lahir daripada orang yang beriman yang mencintai Allah dengan sepenuh hati dan perasaan,bersikap lemah-lembut dan saling kasih-mengasihi sesama manusia.

Cinta adalah pertalian kasih sayang merangkumi aspek spiritual, emosi, fizikal, intelektual dan sosial antara individu yang terlibat di mana mereka saling menghargai nilai-nilai peribadi yang dimiliki dan memuliakan perhubungan yang wujud antara satu sama lain. Cinta juga bererti kemahuan, keasyikan, tarikan kerinduan, dan keresahan yang wujud hasil daripada keterikatan perasaan kepada seseorang atau sesuatu. Cinta adalah penggerak yang menjadikan kita orang yang terbaik dalam banyak perkara dalam kehidupan. Tidak kurang juga, cinta juga boleh merosakkan dan menjadikan seseorang itu sebaliknya.


Pengertian cinta dalam Al-Quran

Kemahuan untuk berpasangan dalam menikmati keindahan dan kelazatan hidup. Keasyikan dan keinginan kepada perkara-perkara yang disenangi. Perkongsian, kemuliaan hati, kasih sayang, hormat dan ketaatan kepada yang dicintai. Cinta yang tulen lahir daripada orang beriman yang mencintai Allah dengan sepenuh hati dan perasaan,bersikap lemah-lembut dan saling kasih-mengasihi sesama Islam.


Pengertian cinta dalam hadis.

Saling menyebarkan salam dan ucap hormat. Memelihara silaturrahim iaitu dengan saling berhubung dan ziarah-menziarahi. Cinta kepada Allah dan rasul-Nya dan cinta sesama manusia semata-mata kerana Allah akan melahirkan kenikmatan spiritual atau kelazatan dalam iman.


Tips menjaga adab percintaan.

Menjaga pandangan masyarakat,jangan menimbulkan fitnah.
Hormati pandangan orang dewasa dan orang yang lebih pengalaman.
Fahami psikologi kekasih dan keluarganya.
Jangan merampas kekasih orang lain.
Hormati batas-batas pergaulan dan jaga akhlak sebaik-baiknya.

Islam menggariskan akhlak yang terbaik untuk merealisasikan percintaan sesama lelaki dan perempuan. Terdapat tiga peringkat percintaan yang mana orang Islam hendaklah mencuba sedaya upaya mereka untuk memelihara kesucian cinta itu daripada dicemari unsur-unsur maksiat dan perkara-perkara yang dapat membawa kepada kemurkaan Allah. Tiga peringkat tersebut adalah cinta sebelum perkahwinan, cinta selepas bertunang dan cinta selepas perkahwinan.

Cinta sebelum kahwin.

Cinta sebelum perkahwinan adalah cinta yang hadir daripada pergaulan harian dengan individu yang mempunyai kesamaan daripada segi cita rasa, peribadi, minat dan cara hidup. Ada kalanya cinta ini adalah cinta pandang pertama yang hadir secara mendadak, dan ia juga mungkin cinta yang di bina secara berperingkat melalui pertemuan
dan pergaulan harian. Cinta sebelum perkahwinan biasanya tidak digalakkan dalam Islam kerana dikhuatiri akan menjerumuskan pencinta itu ke kancah kemaksiatan dan kelalaian dalam percintaan. Walaubagaimanapun, jika percintaan itu mempunyai matlamat suci,iaitu untuk membawa pencinta itu ke jinjang pelamin dan ikatan yang sah, maka sebagai pencinta yang beriman dan takutkan Allah, mereka haruslah menjaga dan memelihara diri daripada maksiat.

Setiap perbuatan cinta seperti menyentuh kekasih, bersalaman, berdating dan berpelukan adalah dilarang sebelum perkahwinan. Sebagai hamba Allah yang takut kepada kemaksiatan dan kehinaan hidup di dunia, pasangan kekasih hendaklah berasa malu untuk mempamerkan ‘cinta terlarang’ mereka kerana belum lagi diiktiraf oleh perkahwinan yang dituntut oleh syarak. Tetapi sebaliknya ,apabila diikat dengan ikatan perkahwinan yang sah, perbuatan-perbuatan itu mendatangkan pahala dengan syarat suami isteri itu berusaha untuk menjaga batasan akhlak dan kesopanan tingkah laku apabila berada di khalayak ramai.

Cinta selepas bertunang.

Kebanyakan orang yang bercinta menyimpan hasrat untuk mempertahankan cintanya hingga ke jinjang pelamin. Bertunang adalah cara yang dilakukan bagi menyempurnakan janji untuk berkahwin. Ia adalah tanda pengabadian cinta yang suci dan tulus. Cinta dalam pertunangan besar ujiannya kerana godaan dan cabaran yang datang dari pelbagai pihak mampu merubah hati dan pendirian pasangan. Orang yang bertunang dikatakan ‘berdarah manis’ kerana mudah terjebak kepada gangguan perasaan dan terdedah kepada pelbagai cabaran. Oleh sebab itu pertunangan tidak digalakkan untuk
tempoh yang lama mengikut adat masyarakat Melayu. Malah ia tidak perlu dihebohkan kepada semua orang kerana dikhuatiri pasangan itu berubah hati dan tidak jadi melangsungkan perkahwinan.

Bertunang tidak sama dengan berkahwin. Bertunang adalah ikatan tetapi ia belum diteguhkan oleh akad yang menghalalkan segala perhubungan antara lelaki dan perempuan. Bertunang adalah tempoh suai kenal bukan tempoh bermadu asmara. Maka orang sedang bertunang tidak boleh melanggar batas-batas agama kerana masih belum halal untuk bersentuh-sentuhan,cium-ciuman, dan sebagainya. Pihak lelaki perlu menyedari bahawa mereka belum lagi menjadi suami,begitu juga pihak perempuan belum bergelar isteri. Maka berhati-hatilah di dalam pergaulan kerana syaitan sentiasa menjadi orang ketiga yang tidak jemu menggoda dan cuba merosakkan cinta yang terbina.

Cinta selepas kahwin.

Allah mengiktiraf cinta selepas kahwin sebagai yang terbaik dan sumber segala kesenangan dan kasih sayang sebagaimana yang dinyatakan di dalam al-Quran ayat 21 surah ar-Rum,”Dan diantara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah bahawa Dia menciptakan isteri-isteri bagimu dari kalangan kamu sendiri supaya kamu dapat hidup tenang bersama mereka dan diadakan-Nya cinta kasih sayang antara kamu .Sungguh,dalam yang demikian ada tanda-tanda bagi orang yang menggunakan fikiran”.

Cinta selepas kahwin adalah cinta yang diredhai dan dituntut oleh ajaran Islam. Cinta seharusnya berputik mekar selepas pasangan suami isteri itu mendapat mandat yang agung untuk bercinta melalui ikatan yang sah dan diiktiraf oleh agama dan juga anggota masyarakat.Bagi menyuburkan cinta selepas perkahwinan,maka pasangan suami isteri haruslah menghormati hak-hak dan tanggungjawab kepada yang dicintai dengan penuh kecintaan dan kasih-sayang.

Antara cara-cara untuk menyuburkan rasa cinta sebegitu ialah dengan membuktikan cinta melalui ketaatan,kasih sayang,pengorbanan dan kesungguhan memuliakan pasangan dan rumah tangga yang dibina. Melahirkan zuriat sebagai bukti yang terjalin.Mengasihi dan menghormati ahli keluarga pasangan suami isteri.

Tips mengekalkan hubungan cinta.

Bercintalah dengan niat untuk mendapatkan keredhaan Allah.
Sentiasa mengambil tahu hal ehwal kekasih.
Mengekalkan rasa hormat,kasih sayang dan kejujuran dalam percintaan.
Jangan menurut hawa nafsu dan godaan syaitan.
Jangan memusnahkan cinta dengan melakukan hubungan seks di luar nikah.
Jangan berdua-duaan di tempat yang sunyi kerana yang ketiga adalah syaitan.
Jaga tutur kata dan peliharalah batas-batas pergaulan.

Umat Islam meraikan kekasih pada setiap hari Orang yang bercinta biasanya mendoakan kekasihnya setiap kali selepas sembahyang.Bagi yang mencintai ibu-bapa dia akan sentiasa taat kepada mereka. Bagi yang mencintai ilmu dia akan membaca buku setiap hari dan mengajarkan kepada orang lain. Bagi yang mencintai Allah,dia akan sentiasa mencari kesempatan untuk berzikir dan melakukan sembahyang tahajud di tengah malam. Kehidupan sejati mukmin sejati dari waktu pagi hingga malam hari sentiasa dipenuhi rasa cinta yang menyala-nyala dan membara.

Orang yang beroleh cinta dan perhatian Allah akan memelihara segala anggota tubuh badannya.Dia tidak akan mendengarkan sesuatu melainkan apa yang diredai oleh Allah dan tidak akan melihat sesuatu melainkan apa yang disenangi oleh Allah. Ini adalah taufik Allah yang diberikan kepada hambanya supaya sentiasa berada dalam ketaatan dan tidak melakukan kemaksiatan walaupun kecil sahaja.

Cinta adalah sendi segenap keutamaan didunia . Jika tiada cinta nescaya nilai kemanusiaan akan hancur .Hargailah cinta untuk menikmati cinta yang sejati .”

Cinta kepada diri sendiri.Kita menyintai diri sendiri dengan memberikan masa untuk diri sendiri contohnya masa untuk bersenam, bertakafur, menjaga kebersihan dan kekemasan diri ,bersangka baik dengan diri sendiri dan tidak memandang rendah pada keupayaan diri, sentiasa berfikiran positif bagi menaikkan semangat untuk melakukan apa saja kebaikan,perbaiki kelemahan diri . Jika tidak pandai memasak,belajarlah memasak. Jika tidak pandai dalam pelajaran, rajin-rajinlah bertanya guru dan mengulang kaji bersama-sama kawan ataupun secara bersendirian. kesilapan dan segera bertaubat. Tunaikan solat taubat dan sentiasa beristiqfar jangan biarkan orang lain merosakkan ataupun menghancurkan diri anda.

Cinta kepada ibu bapa. Menyintai ibu bapa dengan mendoakan kesejahteraan dan kebahagiaan mereka setiap kali selepas solat. Bantu mereka baik dalam bentuk tenaga, nafkah mahupun ketaatan anda. Hormati pandangan dan nasihat mereka. Jika tidak setuju jangan segera membantah tetapi fikirkan dahulu masak- masak. Ziarah dan hubungi mereka sekerap mungkin kerana ibu bapa sangat gembira mendengar berita ataupun menerima kunjungan daripada anak- anaknya .Sesekali berikan hadiah ataupun

cenderahati sebagai tanda ingatan,ucapkan rasa sayang dan rindu kepada mereka. Ciumlah pipi dan tangan sebagai tanda kasih.

Cinta kepada kekasih yang bergelar suami ataupun isteri dengan selalu mengucapkan perkataan yang baik- baik dan sedap didengar, jangan mudah mengherdik, memerli atau menengking pasangan, jangan mencari kesalahan pasangan, sebaiknya berusahalah untuk membaiki kelemahan diri sendiri. Berikan hadiah dan kucupan mesra pada hari lahir, hari ulang tahun perkahwinan, hari lahir anak- anak dan hari raya. Jadilah seorang yang pemurah dengan pujian dan belaian mesra. Setiap perbuatan yang menyenangkan hati suami ataupun isteri dijanjikan dengan ganjaran pahala yang berlipat ganda. Jadikan pasangan sebagai sumber rujukan ,nasihat dan bimbingan.Nasihat pasangan dengan cara lembut dan penuh hikmah.Elakkan daripada merendah- rendahkan ataupun menegur kesilapan pasangan dihadapan orang ramai, terutamanya di hadapan ahli keluarga.

Cinta kepada kekasih yang belum dikahwini dengan menghormati adab- adab pergaulan dan akhlak percintaan. Elakkan pertengkaran kerana ia akan merosakkan perhubungan, janganlah terlalu sensitif ataupun mudah tersinggung.Pastikan cinta tidak
menjadikan saudara orang yang lalai ataupun merosakkan peribadi saudara dan kekasih. Jadikan kekasih sebagai sumber inspirasi, tetapi jangan sesekali melupakan tuhan dan ajaran agama. Nilai dan hargai segala pemberian, ucapan dan kebaikan yang dilakukannya. Elakkan daripada menyusahkannya dengan mengajak shopping, dating ataupun melancong (perbelanjaan ditanggung olehnya ).

Cinta kepada Nabi Muhammad dengan sentiasa berselawat ke atasnya. Sentiasa mengamalkan sunnahnya dan meneruskan perjuangan baginda menegakkan keunggulan Islam. Menyintai Allah dengan sentiasa berzikir dan memikirkan kebesaran dan keagungan-Nya. Sentiasa membaca Al-Quran, sentiasa bersangka baik terhadap-Nya, jalani perintahnya dan jauhi larangan-Nya. Sentiasa mencintai kebaikan , ibu-bapa, ilmu dan cinta-cinta lain yang membawa kepada cinta-Nya.

Tips bercinta dengan Allah.

Sentiasa mengutamakan urusan Allah dalam setiap perkara contohnya mendirikan sembahyang di awal waktu..
Sentiasa memikirkan dan mengingati Allah di mana-mana sahaja.
Sentiasa bersangka baik dengan Allah.
Sentiasa mengharapkan perkara-perkara yang baik dari Allah.
Berusaha mendapatkan khusyuk dalam sembahyang.
Berusaha untuk memahami dan menghayati ayat-ayat suci Al-Quran.
Berbuat kebaikan dalam kesempatan yang ada.
Jangan sangka cinta Allah tidak boleh dicapai,sentiasalah berbaik sangka kepada-Nya.
Hindari perbuatan yang jahat dan akhlak yang buruk.
Fahami hakikat bahawa segala jenis cinta bersifat fana(akan binasa),tetapi cinta kepada Allah bersifat baqa(kekal selama-lamanya).

Cinta dapat menguatkan hati dan perasaan. Hadirnya cinta dalam diri akan menyerikan kehidupan dengan rasa gembira, bahagia,suka dan rasa bangga. Cinta boleh mengubah tingkah laku dan perwatakan individu. Cinta boleh menukar orang yang selekeh menjadi kemas, orang yang malas menjadi rajin dan orang hina menjadi mulia. Ketandusan cinta pula akan menjadikan keadaan bertukar kepada sebaliknya.

Tips bercinta.

Mencontohi akhlak dan budi pekerti rasulullah.
Sentiasa tersenyum dan bermanis muka.
Mengutamakan permintaan dan kehendak orang lain.
Menghormati idea dan pendapat orang lain meskipun berbeza atau bertentangan dengan idea dan pendapat anda.
Menjaga adab dan batas-batas pergaulan.
Berdoa kepada supaya sentiasa mendapat petunjuk dalam bercinta dan membuat keputusan.
Mengutamakan norma hidup dalam masyarakat dan memelihara akhlak serta adab percintaan.

Tips bahagia di akhirat.
Cinta yang saudara miliki mestilah ikhlas iaitu niat bercinta adalah bagi mendapatkan keredhaan Allah.
Cinta yang saudara miliki mesti dapat membawa anda ke arah kebaikan dan pembangunan diri yang positif.
Jangan bercinta jika cinta tersebut boleh menghancurkan hidup saudara.
Pandai-pandailah memilih cinta yang boleh membawa kebahagiaan yang sejati di dunia dan akhirat.

Sedarlah bahawa ada banyak jenis cinta di dunia. Sekiranya kita tidak mendapat cinta daripada orang yang dicintai, kita boleh berusaha mendapatkan cinta daripada Allah S.W.T. Orang yang memiliki cinta daripada Allah, penampilannya sedap dipandang mata, akhlaknya menawan,kata-katanya tidak menyakitkan malah mendidik. Kecintaannya kepada makhluk juga tidak mengira kawan dan lawan sehingga dia turut mendoakan keselamatan dan petunjuk buat orang yang melakukan kemungkaran.

Berbuat baiklah kepada orang-orang yang dicintai, peliharalah hubungan, tutur kata, perbuatan dan segala tingkah laku. Cinta tidak boleh dipaksa, ia akan datang dengan sendirinya. Tetapkanlah niat supaya cinta itu mendapat restu dan redha Allah. Kemudian berdoalah agar kita beroleh cinta-cinta yang dapat membahagiakan hidup di dunia dan di akhirat. Doakan supaya Allah memenuhi hati kita dengan rasa cinta dan sentiasa segar dengan kehadiran cinta itu. Mudah-mudahan hati kita akan sentiasa rasa bahagia.


Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau
Perlis
MALAYSIA

P: 04-9882701
H: 013-4006206
E: abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
W: abdazizharjin.blogspot.com


1 comment:

jalak lenteng said...

alhamdullilah dapat bejumpah dengan blog ustast sebagai rujukan .semoga allah senantiasa mencucurkan rahmat. mohon ana copypass ustast